EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia tinggi dalam dagangan awal

KUALA LUMPUR, 28 JUN: Keuntungan sederhana dalam kaunter utiliti, pengangkutan dan telekomunikasi meningkatkan Bursa Malaysia dalam dagangan awal pada pagi ini.

Pada 9.10 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.0 mata kepada1,674.70 berbanding paras penutup 1,672.70 pada Khamis.

Pada sesi pembukaan, indeks utama itu turun 1.28 mata untuk dibuka kepada 1,671.42.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 98 berbanding 95, 187 kaunter tidak berubah, 1,528 tidak diniagakan dan 97 digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 99.13 juta saham bernilai RM39.82 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menjangka trend pasaran bercampur-campur kepada rendah ini dijangka berterusan sehingga akhir minggu berikutan kekurangan petunjuk baharu.

Keadaan pasaran bercampur-campur itu dijangka berlaku dalam saham berharga rendah berikutan kekurangan pemangkin.

“Ini dijangka meneruskan trend tidak berubah kerana penyertaan runcit juga semakin berkurangan dalam keadaan pasaran yang tanpa hala tuju,” kata firma penyelidikan itu.

Malacca Securities berkata para pelabur menunggu petanda kemajuan rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China apabila kedua-dua Presiden AS Donald Trump dan rakan sejawatannya dari China Xi Jinping tiba di Tokyo sempena menghadiri mesyuarat G20, di mana mereka dijangka mengadakan pertemuan.

Selain perang perdagangan AS-China, para pemimpin G20 juga dijangka membincangkan antara lainnya mengenai isu krisis kewangan global, perlindungan perladangan dan ketegangan ketenteraan AS-Iran.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, MISC naik 18 sen kepada RM7.38, Digi meningkat lima sen kepada RM5.10 dan Tenaga menokok enam sen kepada RM13.74.

Petronas Gas meningkat 10 sen kepada RM17.20, manakala RHB Bank dan MAHB naik empat sen setiap satu masing-masing kepada RM5.63 dan RM8.54.

Sementara itu Maybank dan PetChem tidak berubah pada RM8.89 dan RM8.38.

Dalam kalangan 20 kaunter untung utama, Gamuda naik lima sen kepada RM3.77 selepas syarikat itu dikatakan menerima cadangan tawaran oleh Menteri Kewangan Diperbadankan untuk membeli semua pegangan ekuiti kumpulan tersebut dalam empat syarikat tol.

“Lembaga pengarah Gamuda akan membuat pengumuman dalam masa terdekat ini selepas menjalankan proses sewajarnya berkaitan syarikat bersekutu dan syarikat usaha sama,” kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Khamis.

Dalam kalangan saham diniagakan cergas, Greenyield meningkat 3.5 sen kepada 16 sen, KNM tidak berubah pada 19 sen dan Sapura Energy naik setengah sen kepada 30 sen.

Semalam, Sapura Energy mengumumkan ia memperoleh 10 kontrak baharu bagi segmen kejuruteraan dan pembinaan dan penggerudian bernilai RM1 bilion di Malaysia, Thailand, Taiwan dan Australia, termasuk kontrak ladang angin luar pantai pertama Sapura Energy.

Selain itu, Sapura Energy juga dipilih bagi perjanjian kerangka dengan Petronas bagi kerja struktur luar pantai tetap.

Indeks FBM Emas meningkat 9.59 mata kepada 11,799.79, Indeks FBMT 100 naik 9.91 mata kepada 11,652.78 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 22.98 kepada 12,154.22.

Bagaimanapun FBM 70 turun 3.75 mata kepada 14,639.50 manakala FBM Ace susut 11.48 mata kepada 4,430.96.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 17.62 mata kepada 16,691.61, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.01 mata kepada 160.69 dan Indeks Perladangan berkurangan 1.93 mata kepada 6,964.35. – BERNAMA


Pengarang :