SELANGOR

Selangor lancar sistem pengurusan geospatial pertama di Malaysia

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 JUN: Selangor muncul negeri pertama di Malaysia membangunkan Projek Sistem Pengurusan Geospatial SmartSel (SELGEM) dengan teknologi LiDAR udara (Airborne Light Detection and Ranging).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sistem itu akan diaplikasi secara meluas dalam pengurusan bencana, pemuliharaan alam sekitar serta pemetaan utiliti ke arah menyokong konsep Smart Selangor.

“LiDAR adalah salah satu teknologi dan kaedah yang berupaya memberikan maklumat keadaan muka bumi dan topografi secara terperinci dan tepat.

“Menerusinya, kita akan menjadi negeri yang pertama mempunyai pengkalan data terlengkap dari segi topografi, utiliti dan demografi.

“Teknologi LiDAR yang akan digunakan oleh SELGEM terbukti berkemampuan untuk berfungsi dengan sepenuhnya untuk menjadi salah satu alat untuk membekalkan analisa yang komprehensif terutama untuk 24 sektor di bawah akta kualiti alam sekeliling 2015,” katanya pada Majlis Pelancaran SELGEM, di SUK, di sini.

Amirudin percaya, SELGEM akan dijadikan pusat geospatial setempat untuk mengenalpasti, merancang dan mengawal kawasan pembangunan rumah mampu milik, pengurusan sisa pepejal, saliran dan pengaliran sungai, perhutanan dan pertanian, pengurusan bencana dan pembangunan infrstrtuktur telekomunikasi serta utiliti.

“Ketiadaan atau kurangnya pendekatan baharu yang bersepadu dengan penggunaan teknologi serta data yang tepat ini ternyata masih lagi ketara bila timbulnya isu-isu dan bencana yang berlaku sebelum ini.

“Sebagai contohnya keruntuhan tanah di kawasan Bukit Antarabangsa kerana terdapat pergerakan air di bawah tanah dan bencana lain yang masih dalam ingatan kita.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri merasakan adalah lebih baik jika mengambil langkah pencegahan dan memastikan pembangunan yang dilaksanakan di dalam Selangor, walaupun pesat dan rancak, ia terkawal dan mampan,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin berkata, SELGEM itu turut menjadi penyumbang kepada tarikan pelabur untuk melabur di Selangor dengan adanya data pembangunan, topografi dan utiliti yang lengkap di negeri Selangor ini.

“Dengan data yang lengkap, pelabur lebih mudah untuk membuat keputusan apabila hendak melabur di negeri ini,” katanya.

 


Pengarang :