NASIONAL

Status Pengerusi dan CEO TM diputuskan PM – Guan Eng

GEORGE TOWN, 1 JUN: Kedudukan jawatan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Telekom Malaysia Bhd (TM) adalah kekal pada masa ini sehingga ia diputuskan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kelak.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sehingga kini pihaknya tidak mendapat sebarang arahan daripada Perdana Menteri untuk menggantikan penyandang jawatan tersebut.

“Jawatan Pengerusi dan CEO yang dilantik oleh Kementerian Kewangan adalah selepas mendapat surat dan catitan daripada Perdana Menteri sendiri dan sehingga kini arahan belum diterima daripada Perdana Menteri bagi pertukaran maka jawatan Pengerusi dan CEO TM masih orang sama, ” katanya semasa sidang media di Perpustakaan Digital Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai artikel bertajuk ‘Stand-Off CEO Telekom’ yang disiarkan media kewangan, The Edge Financial Daily, semalam.

Laporan itu antara lainnya memetik sumber yang mendakwa Pengerusi TM Rosli Man enggan meneruskan pelantikan pemangku CEO, Imri Mokhtar bagi menggalas tugas itu walaupun pelantikan beliau telah diluluskan oleh pemegang saham khas TM, Menteri Kewangan (Diperbadankan).

Dalam pada itu Guan Eng berharap agar isu berhubung lantikan kedua-dua jawatan itu kini jelas dan ia bukannya berdasarkan daripada pihak sumber kedua atau ketiga.

— BERNAMA


Pengarang :