BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor: Jangan mudah sebar ketidakpuasan hati di media sosial

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menasihatkan supaya jemaah haji tidak sewenang-wenangnya menyebar berita dan ketidakpuasan hati di media sosial.

Baginda bertitah, perlakuan sedemikian hanya akan merumitkan keadaan serta tidak akan menyelesaikan masalah.

“Beta juga menyeru agar tuan-tuan dan puan-puan saling berganding bahu, tolong menolong dan hormat menghormati antara satu sama lain.

“Elakkan dari bertengkar, bergaduh dan melakukan perkara yang boleh menimbulkan kekecohan, supaya ibadat haji yang bakal dilaksanakan berjalan dengan lancar dan sempurna,” titah baginda.

Baginda kemudiannya turut berkenan menyempurnakan Kursus Haji Perdana Tahun 1440H/2019M Peringkat Selangor bertempat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Dato’ Sri Zukri Samat.

Baginda turut mengucapkan syabas kepada Tabung Haji atas kesungguhan dalam memastikan kebajikan jemaah haji negara sentiasa terpelihara.

Titahnya, setiap tahun perkhidmatan dan prasarana yang disediakan bertaraf dunia dan diiktiraf sebagai yang terbaik.

“Jemaah harus bersyukur dengan adanya sebuah badan seperti Tabung Haji yang menjaga kebajikan jemaah haji negara dan sekiranya ada sebarang kekurangan, berbincanglah dengan pegawai Tabung Haji secara baik.

“Beta mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada para jemaah kerana telah terpilih untuk menunaikan haji,” titah baginda.

Pada masa sama, Sultan Selangor turut mengingatkan jemaah supaya menjaga kesihatan bermula dari sekarang.

“Lakukan senaman ringan, dapatkan rehat secukupnya dan ikutlah nasihat doktor dalam penjagaan kesihatan termasuk makan ubat, agar kekal sihat sebelum berlepas ke Tanah Suci.

“Apabila sampai nanti, lipat gandakan penjagaan kesihatan dan jika ada masalah kesihatan, segeralah ke klinik-klinik Tabung Haji di Mekah atau Madinah untuk mendapatkan rawatan bagi mengelakkan ianya berlarutan,” titahnya.


Pengarang :