TEKUN berjaya kutip hutang RM200 juta dalam tempoh lima bulan | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Aishah Amin

TEKUN berjaya kutip hutang RM200 juta dalam tempoh lima bulan

TANAH MERAH, 8 Jun : Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional berjaya mengutip sejumlah RM200 juta hutang daripada 419,483 peminjam yang membuat pinjaman perniagaan dengan agensi itu sepanjang tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Pengerusinya Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor berkata jumlah kutipan itu menunjukkan peminjam mula sedar tanggungjawab mereka untuk membayar balik hutang demi kelangsungan kepada usahawan kecil dan sederhana yang lain.

“Walaupun jumlah itu hanya separuh daripada hutang terkumpul iaitu lebih RM600 juta daripada kesemua peminjam, pihak pengurusan kami berusaha mengambil masa, langkah dan ruang untuk membolehkan peminjam membayar balik hutang mereka.


“Kami memberikan peluang kedua kepada mereka yang tidak boleh membayar balik hutang supaya tampil berjumpa dan berbincang dengan pihak kami,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Apresiasi Karnival Usahawan dan Sambutan Hari Raya Aidifitri 2019 di Dataran Kopakat yang turut dihadiri Ketua Pengawai Eksekutif TEKUN Nasional Datuk Adam Abd Ghani.

Mohamad Suparadi berkata pihaknya bagaimanapun tidak mahu peminjam melihat dasar dan usaha TEKUN Nasional seperti ‘ah long’ dalam usaha agensi itu mengutip hutang.

“Bukan kami mahu menjadi seperti ‘ah long’ untuk mengutip hutang secara paksaan kerana kami mempunyai kaedah tertentu bagi membantu peminjam agar mampu membayar balik hutang mereka.

“Kami faham dalam keadaan ekonomi tidak menentu ramai peminjam tidak mampu bayar balik hutang mereka terutama mereka yang tidak berjaya dalam perniagaan selepas mendapat pinjaman,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas kepada peminjam yang cuba ‘lari’ daripada tanggungjawab mereka untuk membayar balik hutang pinjaman.

“Jenis peminjam lari dan sembunyi yang kami tidak mahu kerana sikap ini akan memberikan kesan kepada usahawan kecil dan sederhana yang lain pada masa hadapan untuk mendapat dana pinjaman,” katanya. -BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next