EKONOMI

Harga getah jejaki prestasi pasaran serantau minggu depan

KUALA LUMPUR, 8 Jun : Prestasi pasaran getah Malaysia dijangka seiring dengan pergerakan pasaran hadapan serantau komoditi itu pada minggu depan, kata peniaga.

Menurut peniaga, kalangan pedagang akan turut mengikuti rapat prestasi harga minyak mentah global serta ringgit berbanding dolar US bagi menentukan aliran permintaan dan penawaran komoditi tersebut.

Bagi minggu yang baru berakhir, harga getah kebanyakannya tinggi, dipengaruhi oleh pasaran getah serantau dan harga minyak global berikutan laporan mengenai kemungkinan pihak pengeluar akan mengurangkan pengeluarannya.

Pasaran beroperasi separuh hari pada Selasa lepas dan ditutup pada Rabu dan Khamis bersempena cuti umum AidilFitri.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, harga fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 meningkat satu sen kepada 643.50 sen sekilogram manakala lateks pukal menambah 7.5 sen kepada 502.5 sen sekilogram.

Harga penutup pada 5 petang bagi gred tayar SMR 20 susut 5.0 sen kepada 642.0 sen sekilogram manakala lateks pukal naik 8.5 sen kepada 503.5 sen sekilogram. -BERNAMA


Pengarang :