GLOBAL

Tiga kematian akibat wabak H1N1 dilaporkan di Yangon, Myanmar

YANGON, 20 Jun : Tiga orang maut akibat virus selesema H1N1 setakat ini di wilayah Yangon, Myanmar, kata Dr Thar Tun Kyaw, seorang pegawai Kementerian Kesihatan dan Sukan kepada agensi berita China Xinhua pada Rabu.

Ketiga-tiga kematian adalah dari Hospital Besar Yangon dan dua lagi hospital di perbandaran Okkalapa Utara and Insein.

“Sebanyak lapan kes jangkitan virus itu telah dikesan di seluruh negara selepas ujian spesimen pada 14 Jun dan ketiga-tiga kematian termasuk dalam senarai tersebut,” katanya.

Sama seperti selesema bermusim, gejala H1N1 termasuk demam, batuk, sakit tekak, hidung berair, sakit badan, sakit kepala, menggigil serta muntah-muntah dan cirit-birit.

Gejala itu berlaku dalam tempoh sehari hingga lima hari yang dipanggil tempoh inkubasi selepas terdedah kepada orang yang dijangkiti kerana virus itu tersebar melalui titisan air dalam udara daripada bersin dan batuk atau tangan yang tercemar dengan cecair, menurut kenyataan kementerian berkenaan. -BERNAMA


Pengarang :