NASIONAL

Trafik lancar di beberapa lebuh raya utama pagi ini

KUALA LUMPUR, 5 JUN: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan lancar dan terkawal setakat pukul 9.30 pagi ini.

Jurucakap PLUS Malaysia Berhad ketika dihubungi berkata trafik lancar sepanjang lebuh raya PLUS, Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) dan Jambatan Pulau Pinang.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 di kedua-dua arah juga dilapor lancar setakat ini.

Bagaimanapun, aliran trafik tinggi dari ibu negara menuju ke Plaza Tol Gombak namun berada dalam keadaan terkawal.

Aliran trafik tinggi turut berlaku di laluan mendaki ke Genting Sempah, katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

– BERNAMA


Pengarang :