Selangorkini
GLOBAL

Tragedi Christchurch: Lelaki dipenjara 21 bulan kongsi video pembunuhan

WELLINGTON, 18 JUN: Seorang lelaki rakyat New Zealand yang mengaku mengedar semula video penstriman langsung serangan ganas Christchurch dihukum penjara 21 bulan pada Selasa, lapor agensi berita China Xinhua.

Philip Arps, pengendali sebuah syarikat yang menggunakan imej neo-Nazi, mengaku bersalah pada April bagi dua pertuduhan mengedar bahan yang tidak menyenangkan.

Lelaki berusia 44 tahun itu mengaku bahawa sehari selepas insiden pembunuhan di masjid itu, beliau menghantar video yang diubah suai dengan rerambut silang serta “kiraan pembunuhan” dan mengedarkan video yang tidak diubah suai kepada 30 orang.

Pada prosiding pagi Selasa yang berlangsung di Mahkamah Daerah Christchurch, Hakim Stephen O’Driscoll berkata apabila ditanya pendapat Arps mengenai video itu, tertuduh menjawab “ia adalah hebat.”

Dalam penghakiman beliau, O’Discoll berkata oleh kerana pandangan ideologi Arps begitu ekstrim, tidak ada prospek untuk rehabilitasi dan hukuman yang dijatuhi ke atas tertuduh perlu menyingkirkan tahanan rumah.

Arps turut dikenakan syarat pasca pembebasan selama enam bulan yang menyaksikan beliau perlu menghadiri penilaian psikologi, tidak mengakses internet dan menjalani sesi penilaian serta kaunseling bagi penggunaan alkohol dan dadah.

Hakim O’Driscoll berkata Arps berhasrat membesar-besarkan kematian anggota komuniti Islam dan sebarang hukuman penjara yang singkat adalah tidak wajar.

-BERNAMA


Pengarang :