SELANGOR

84 warga kerja PKNS terima APC

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 JUL: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terus komited menyemai budaya kerja cemerlang dengan memberi pengiktirafan kepada 84 warganya berikutan komitmen dan jasa sepanjang tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang diberikan mampu menjadi pembakar semangat kepada warga kerja PKNS untuk memberi perkhidmatan lebih baik pada masa akan datang.

“Semoga anugerah ini memberi semangat bukan sahaja tahun ini tetapi juga tahun akan datang kekal cemerlang.

“Selain itu saya yakin anugerah ini juga memberi semangat kepada mereka yang belum menang kali ini,” katanya.

Mohd Azizi berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang 2019 di Hotel De Palma di sini, hari ini.

Sementara itu, seramai 41 pesara dan 25 warga kerja turut diberikan penghargaan sebagai mengenang jasa mereka yang setia bersama PKNS.

Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang membawa pulang sijil penghargaan dan cek bernilai RM1,000 setiap seorang.

Penerima Anugerah Jasamu Dikenang pula menerima medallion, Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Sijil Penghargaan.

Sementara itu, pesara pula menerima medallion emas, Sijil Simpanan Premium BSN, jam tangan untuk pasangan dan sijil penghargaan.

Anugerah disampaikan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nor Azmie Diron.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :