AGENDAGLOBAL

Abe menang majoriti kerusi dewan negara

TOKYO, 22 JUL: Gabungan parti pemerintah Jepun memenangi majoriti kerusi dalam pemilihan Dewan Negara, semalam lapor agensi berita Turki Anadolu memetik media tempatan.

Bagaimanapun, rancangan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe untuk meminda perlembagaan negara itu gagal kerana beliau tidak dapat mengekalkan majoriti dua pertiga di parlimen, lapor Kyodo News.

Menyentuh perkara itu, Abe menyambut baik keputusan tersebut dan berkata rakyat telah memilih kestabilan politik.

“Kami telah mendapat mandat untuk meneruskan haluan politik kami,” Abe dipetik Kyodo News sebagai berkata.

Keputusan rasmi dijangka diumumkan dalam tempoh seminggu.

Sejumlah 17.6 juta orang telah menunaikan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi.

Abe, yang memegang jawatan pada 2012, berkata beliau tidak bercadang bertanding untuk tempoh sepenggal lagi pada pilihan raya umum 2021 dan berharap mempunyai peluang untuk meminda perlembagaan Jepun.

Jika satu lagi parti menyokong gabungan pemerintah semasa, Abe boleh mendapat majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk melakukan pindaan.

Parti Demokratik Liberal (LDP) pimpinan Abe telah memenangi lima pilihan raya parlimen sejak 2012.

– BERNAMA


Pengarang :