SELANGOR

ABSP buka peluang kanak-kanak sertai bola sepak

SHAH ALAM, 21 JULAI: Akademi Bola Sepak Seri Pristana (ABSP) membuka peluang kepada kanak-kanak lelaki seawal usia 5 hingga 12 tahun untuk menceburi bidang sukan terkemuka itu.

Pengurus Projeknya, Tajul Amir Darus mengalu-alukan ibu bapa untuk mendaftarkan anak mereka yang berminat dalam sukan itu bersama menyertai ABSP, sekali gus berpeluang mengasah bakat sebagai pemain bola sepak.

Katanya, peserta akan dibimbing jurulatih profesional, selain mewakili ABSP ke kejohanan jemputan dan persahabatan, modul latihan “grass root” daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan mendapat sokongan program pembangunan bola sepak kebangsaan.

“Yuran pendaftaran sebanyak RM130 akan dikenakan dan mereka diberikan dua set lengkap jersi, stoking serta beg, manakala setiap bulan ibu bapa hanya perlu membayar RM30 sahaja.

“Saya amat menggalakkan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke sini kerana di awal usia adalah masa terbaik untuk kita melatih dan sokong apa yang mereka minati,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini pada ABSP Skill Test and Parenting Talk 2.0 di Akademi Bola Sepak Merah Kuning, Persiaran Mokhtar Dahari, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, sesi ABSP Skill Test and Parenting Talk 2.0 itu adalah kali kedua diadakan selepas Januari lalu untuk memberi sedikit takimat berkenaan pengenalan sukan bola sepak dan peranan ibu bapa membantu anak mereka mendalami sukan terbabit.

Beliau berkata, ASBP ditubuhkan sejak September tahun lalu bertujuan mengasah bakat dan mendidik peserta berkenaan erti semangat berpasukan melalui sukan bola sepak dengan menggunakan kaedah “Grass Root” FAM.

“Sejak ditubuhkan, sambutan amat memberansangkan dan sehingga kini kita sudah mempunyai 151 peserta, malahan mereka bukan sahaja dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana tetapi beberapa sekolah sekitar Selangor turut terlibat,” katanya.

Ibu bapa yang berminat untuk menghantar anak mereka, boleh ‘walk in’ ke SK Seri Pristana setiap Isnin sehingga Jumaat dan mengisi borang yang disediakan.

Sementara itu, tempat latihan pula akan diadakan di SK Seri Pristana setiap Sabtu pjam 4 sehingga 6 petang, manakala Ahad (8-10 pagi).

Untuk maklumat lanjut, layari Facebook ABSP.


Pengarang :