Selangorkini
NASIONAL

Banjir semakin pulih, jumlah mangsa terus berkurangan

MELAKA, 8 JUL: Keadaan banjir kilat pada hari kedua di Melaka semakin pulih apabila jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 1,001 mangsa melibatkan 225 keluarga pada pukul 4.00 petang berbanding 1,117 mangsa daripada 250 keluarga pada tengah hari ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata, sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu PPS Balai Raya Tambun ditutup pada pukul 2.30 petang.

“Sementara itu, jumlah mangsa di dua buah PPS iaitu PPS Sekolah Kebangsaan Krubong dan PPS Balai Raya Bukit Balai masing-masing mengalami penurunan iaitu 235 mangsa daripada 58 keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan Krubong dan 34 mangsa daripada tujuh keluarga masih bertuduh di sana,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Effendy, yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka berkata, bilangan mangsa banjir di tiga PPS tidak berubah iaitu di PPS Sekolah Kebangsaan Belimbing Dalam, PPS Balai Raya Kampung Beringin dan PPS Sungai Tuang.

Beliau berkata, penambahan jumlah mangsa yang dipindahkan hanya berlaku di sebuah PPS iaitu PPS Taman Merdeka yang kini menerima 208 mangsa melibatkan 51 keluarga. – BERNAMA


Pengarang :