EKONOMI

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR, 26 JUL: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini seiring dengan prestasi lemah di Wall Street dan susulan keputusan Bank Pusat Eropah (ECB) untuk mengekalkan kadar faedahnya.

Pada 9 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.01 mata kepada 1,652.57 berbanding paras penutup 1656.58 pada Khamis.

Indeks itu dibuka rendah turun 2.84 mata kepada 1,653.74.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 100 berbanding 96, manakala 176 kaunter tidak berubah, 1,556 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 84.05 juta unit bernilai RM72.12 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata, dengan pendekatan berhati-hati yang berterusan di Bursa Malaysia, risiko menurun juga dijangka muncul dalam tempoh terdekat ini.

“Persekitaran dagangan lengang juga boleh menyebabkan indeks utama kembali ke paras sokongan 1,650 dan jika ia terus turun, FBM KLCI akan berundur semula ke paras 1,644.

“Manakala paras ketahanan masing-masing berada pada 1,660 dan 1,667,” kata firma penyelidikan itu dalam satu kenyataan.

Di keseluruhan pasaran, Malacca Securities berkata indeks permodalan kecil FBM dijangka stabil selepas gagal mengatasi paras tertingginya bagi tahun ini pada April.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga turun dua sen setiap satu masing-masing kepada RM8.73 dan RM13.72 manakala Public Bank susut lapan sen kepada RM22.60 dan PetChem jatuh lima sen kepada RM7.60.

Saham paling cergas pagi ini termasuklah Genting Malaysia, yang melonjak 24 sen kepada RM3.91 selepas mencapai penyelesaian dengan Fox, Twenty First Century Fox (21CF) dan The Walt Disney Company berhubung pertikaian mereka berkaitan dengan taman tema jenama Fox di Genting Highlands.

Selain itu, Only World Group meningkat 6.5 sen kepada 62.5 sen manakala Scomi tidak berubah pada 9.5 sen.

Indeks FBM Emas turun 20.16 mata kepada 11,743.16 dan Indeks FBMT 100 berkurangan 26.40 mata kepada 11,559.50.

Indeks FBM Emas Shariah susut 40.29 mata kepada 12,097.75, FBM Ace berkurangan 1.93 mata kepada 4,765.18 dan FBM 70 jatuh 26.93 mata kepada 14,769.70.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 28.74 mata kepada 6,817.86, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 52.65 mata kepada 16,379.04 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.45 mata kepada 155.76. – BERNAMA


Pengarang :