AGENDA NASIONAL

FB: Pendakwaan fail permohonan minta Najib mohon maaf

KUALA LUMPUR, 26 JUL: Pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd mengemukakan permohonan rasmi bagi menuntut Datuk Seri Najib Tun Razak memohon maaf kepada mahkamah kerana menyiarkan hantaran di laman Facebooknya berhubung keterangan saksi melibatkan penggunaan kad kredit miliknya.

Melalui permohonan yang difailkan semalam, Pendakwa Raya memohon Mahkamah Tinggi mendengar secepat mungkin usul pihaknya supaya bekas Perdana Menteri itu memohon maaf sendiri terhadap penerbitan subjudis dalam Facebook miliknya pada 9.30 malam, 15 Julai lalu dan 11.23 pagi, pada 17 Julai lepas.

Pendakwa Raya juga memohon perintah supaya Najib dihalang daripada menerbitkan atau menyebabkan pernyataan itu diterbitkan berkaitan keterangan dikemukakan saksi dalam perbicaraan kes SRC yang dihadapinya.

Pendakwa Raya selaku pemohon juga memohon perintah, bahawa Najib yang dinamakan sebagai responden yang menyebabkan penerbitan yang dipersoalkan itu dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat dalam afidavit sokongan yang diikrarkannya berkata, kedua-dua penerbitan itu jika dibaca secara keseluruhan, adalah jelas menunjukkan cubaan Najib untuk membuat pembelaan melalui media sosial dan mengulas keterangan dikemukakan di mahkamah.

“Adalah amat jelas perkara ini adalah subjudis dan berniat untuk mempengaruhi keterangan di mahkamah dan mendapatkan sokongan daripada orang awam untuk memberikan tekanan dan dorongan terhadap keputusan mahkamah.

“Adalah jelas bahawa tindakan sedemikian adalah tidak sesuai dan satu campur tangan terhadap pentadbiran keadilan dan proses perundangan.

“Dua penerbitan dipersoalkan itu terjumlah kepada ulasan dan pendedahan berkaitan prosiding kehakiman yang memprejudiskan serta terlebih dahulu, sudah membuat penghakiman,” katanya.

Katanya, penerbitan yang dipersoalkan itu adalah berhubung perkara yang akan diputuskan mahkamah, dan ia menceroboh perkara bagaimana isu itu patut diputuskan atau ditangani.

Muhammad Izzat berkata, ia secara langsung memprejudiskan keputusan prosiding yang menyebabkan risiko besar terhadap campur tangan ke atas proses perundangan dan keadilan.

Pada 18 Julai lalu, Peguam Negara Tommy Thomas memohon Mahkamah Tinggi mengeluarkan arahan supaya Najib memohon maaf kepada mahkamah, bagaimanapun pada 23 Julai lalu Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan bahawa ia lebih baik difailkan melalui permohonan rasmi.

Dalam prosiding sebelum ini Thomas berkata, Najib memuat naik hantaran yang menjelaskan keterangan saksi pendakwaan ke-47, iaitu Naib Presiden Kanan Kumpulan Ambank, Yeoh Eng Leong berhubung penggunaan kad kredit milik Najib dengan menyatakan bahawa ia digunakan bagi membeli hadiah untuk kerabat diraja luar negara.

Beliau berkata pendakwaan menuntut permohonan maaf tanpa bersyarat daripada tertuduh di atas tindakannya dan satu aku janji untuk tidak mengulanginya.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. – BERNAMA


Pengarang :