AGENDANASIONAL

Saman pelucuthakan: UMNO Pekan fail bantahan

KUALA LUMPUR, 26 JUL: UMNO Pekan memfailkan bantahan awal terhadap saman pelucuthakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berusaha mendapatkan kembali wang dikatakan berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam, Datuk M Reza Hassan, mewakili UMNO Pekan yang dinamakan sebagai responden, memberitahu perkara itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali semasa pengurusan kes hari ini.

“Bantahan itu difailkan Selasa lepas. Saya percaya sahabat saya telah menerima surat itu,” katanya.

Sementara itu, peguam Md Yunos Shariff yang mewakili Naza Quest Auto Sdn Bhd dan peguam Amin Othman bagi pihak Yayasan Rahah, yang merupakan responden dalam saman fitnah itu memberitahu mahkamah bahawa mereka telah meminta penyelesaian sepenuhnya.

Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai berkata pihak pendakwaan memerlukan masa untuk memberi maklum balas dan memberitahu mahkamah, mereka akan memberikan jawapan berhubung perkara itu pada 23 Ogos.

“Responden telah menghantar surat untuk penyelesaian kepada kami, dan kami akan membalas dengan segera tetapi kami memerlukan masa untuk menjawabnya,” kata Allan.

Mohd Nazlan kemudian menetapkan 23 Ogos untuk pengurusan kes Naza Quest dan Yayasan Rahah serta mendengar bantahan awal UMNO Pekan.

Hari ini mahkamah dijadual mendengar permohonan pihak pendakwaan untuk penyiaran notis bagi pihak ketiga yang berkepentingan terbabit tampil ke mahkamah, memberikan alasan mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan.

Proses pewartaan notis berkenaan dibuat mengikut Seksyen 61(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Pewartaan notis itu bagi membolehkan pihak berkepentingan terbabit untuk tampil ke mahkamah pada hari yang akan ditetapkan kemudian bagi memberikan alasan mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan. – BERNAMA


Pengarang :