Amirudin (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Raja Shahreen (kiri) ketika sidang media program Selangor Regional Powerhouse di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. -foto HAFIZ OTHMAN (SelangorKini)
BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUAN

Ikut rentak dunia capai negeri pintar serantau menjelang 2025

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Selangor kini sedang rancak mengikut rentak dunia bagi mencapai status negeri pintar serantau menjelang 2025, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Katanya, agenda ‘Smart City’ itu menjadi trend juga topik utama bagi beberapa negara maju antaranya United Kingdom, Amsterdam, Singapura dan Jakarta.

“Untuk itu, Selangor sebenarnya sudah diiktiraf sebagai negeri maju pada 2005 berdasarkan struktur kemudahan dan infrastruktur, namun untuk mencapai negeri pintar serantau pada 2025 kita memerlukan langkah setapak sahaja lagi.

“Jadi melaluinya, harapan yang Selangor perlukan ialah menggabungkan teknologi bersama inisiatif ‘Smart City’, sekali gus mampu menjadikan kita bersaing di peringkat dunia.

“Bagi menjayakan misi itu, kita juga akan mengukuhkan industri aeroangkasa, elektrik dan elektronik. Tidak ketinggalan pengangkutan, makanan dan minuman yang juga menjadi tiang utama kepada ekonomi negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Forum ‘Selangor: Regional Powerhouse’ di Hotel Hilton, di sini hari ini.

Hadir sama, pada forum berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor, Raja Shahreen Raja Othman; EXCO Pelaburan, Perindustrian, dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Selangor kini menjadi peneraju utama bagi meneruskan misi negeri pintar.

Katanya, bidang aeroangkasa menjadi asas kukuh bagi menjayakannya, dengan terdapat kira-kira 200 syarikat berkaitan yang memberi sumbangan besar di peringkat global.

“Di Selangor, kita mempunyai 3S untuk bidang berkenaan iaitu Serendah, Subang dan Sepang, dan menariknya mereka menguasai 62 peratus industri aeroangkasa di Malaysia,” katanya.


Pengarang :