AGENSISELANGOR

Jangan bakar, guna kompos lebih mesra alam

SHAH ALAM, 30 JULAI: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor menyarankan pengusaha pertanian supaya melakukan kompos daripada sisa pertanian yang lebih mesra alam berbanding pembakaran.

Pengarahnya, Shafe’ee Yasin berkata, hal itu bagi mengelakkan kebakaran tanah gambut yang sering berlaku pada setiap kali musim panas dan kering khususnya di Kampung Johan Setia.

Malah, katanya, sifat tanah gambut yang mempunyai bahan organik tinggi menjadikan kawasan berkenaan mengalami kebakaran berpanjangan dan sukar dipadam.

Beliau berkata, aktiviti pembakaran tidak terkawal yang dilakukan segelintir pengusaha pertanian turut menyumbang kepada masalah pencemaran udara di kawasan berkenaan.

“Johan Setia adalah kawasan tanah gambut yang mana secara semula jadinya mempunyai kandungan kelembapan tinggi.

“Penerokaan kawasan tanah gambut bagi tujuan pembangunan guna tanah seperti perumahan dan sebagainya menyebabkan kehilangan kandungan air dari kawasan gambut.

“Walaupun pembakaran sisa tuaian adalah amalan pertanian, namun bagi kawasan tanah gambut ia adalah tidak sesuai kerana sifat tanah gambut itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Kesedaran Bersama Petani dan Komuniti Sempena Program Mencegah Kebakaran Tanah Gambut Untuk Mengatasi Jerebu di Sekolah Kebangsaan Johan Setia, di sini.

Hadir sama EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian dan Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Shafe’ee berkata, kejadian jerebu yang berlaku akan menjejaskan kualiti udara dan seterusnya memberi kesan buruk kepada kesihatan awam.

Sehubungan itu, katanya, bagi menangani dan mencegah aktiviti pembakaran terbuka itu, JAS dan Unit Pantas Majlis Perbandaran Klang sentiasa menjalankan rondaan di sekitar kawasan Johan Setia.

“Rondaan ini dilakukan khususnya di kawasan pertanian bagi memastikan tiada pembakaran terbuka oleh mana-mana pihak bagi sebarang tujuan,” katanya.


Pengarang :