SELANGOR

Kekal had umur hingga 40 tahun bagi pembangunan belia

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 6 JUL: Kerajaan Negeri membuat keputusan untuk mengekalkan had umur belia sehingga 40 tahun bagi setiap program pembangunan di Selangor.

EXCO Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, hal itu memandangkan sebahagian besar belia Selangor berumur 30 tahun ke atas masih aktif dalam aktiviti sukan dan program ‘outdoor’.

Justeru katanya, Selangor tidak akan sama sekali meminggirkan golongan terbabit dalam setiap program pembangunan belia.

“Kerajaan Negeri meneliti dengan rapat pindaan Rang Undang-Undang Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Akta 688) yang menghadkan umur belia dari 40 ke 30 tahun seperti yang telah diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini.

“Kita secara dasarnya menyokong keputusan terbabit tetapi masih mentakrifkan definisi belia dari umur 15 sehingga 40 tahun,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, ia juga selaras dengan inisiatif diwujudkan Kerajaan Negeri kepada belia seperti Insentif Perkahwinan Belia yang ditawarkan kepada mereka berumur sehingga 40 tahun.

“Kita bertemu beberapa orang belia di lapangan dan mereka berpandangan, umur 30 tahun adalah terlalu cepat habis zaman belia,” katanya.

Bagaimanapun, Khairuddin berkata, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama serta kekal komited bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam setiap usaha pembangunan belia di Selangor secara khususnya juga Malaysia secara amnya.

Khamis lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668), antaranya menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

RUU Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 diluluskan selepas dibahaskan hampir lima jam oleh 17 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

RUU itu dibentangkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Selain menurunkan had umur, pindaan lain membabitkan peruntukan tempoh pemegang jawatan dalam sesuatu pertubuhan iaitu tidak kurang daripada 18 tahun dan tidak melebihi 30 tahun pada tarikh pelantikannya.

Syed Saddiq ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua berkata, pindaan pada akta berkenaan mampu memperkukuhkan peranan dan tanggungjawab belia di Malaysia.

 


Pengarang :