AGENDANASIONAL

Kes Ku Nan: Resit RM2 juta dipercayai dikeluar tahun lalu

KUALA LUMPUR, 19 JUL: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu resit pembayaran RM2 juta sumbangan politik kepada UMNO yang diberikan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kepada Pengarah Urusan Syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd, Tan Sri Chai Kin Kong adalah dipercayai daripada buku resit rasmi UMNO yang digunakan pada 2018, sedangkan pemberian RM2 juta itu berlaku pada 2016.

Ini berdasarkan turutan nombor-nombor resit daripada buku resit UMNO itu.

Perkara itu didedahkan Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nik Muhamad Faiez Idris, 27, semasa memberi keterangan pada perbicaraan hari ke-10 kes rasuah RM2 juta yang dihadapi bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu.

“Boleh kamu beritahu mahkamah bila tarikh pada resit 376241 (resit pembayaran RM2 juta) itu,” soal Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim.

“Tarikh resit itu pada 14 Jun 2016,” jawab Nik Muhamad Faiez.

Julia: Bolehkah kamu beritahu mahkamah bila tarikh yang tertera pada resit 376240 sebelum resit 376241?

Nik Muhamad Faiez: Merujuk kepada resit 376240 resit ini bertarikh 12 November 2018.

Julia: Bilakah tarikh pada resit 376242?

Nik Muhamad Faiez: Resit itu bertarikh 16 November 2018.

Nik Muhamad Faiez, 27, yang bertugas di SPRM sejak 1 Disember 2016 juga mendedahkan bahawa tiada salinan pendua di dalam buku resit bagi pembayaran RM2 juta itu.

Ketika dirujuk resit RM2 juta oleh Julia semasa pemeriksaan utama dan meminta saksi itu membuat semakan sama ada terdapat salinan pendua bagi resit yang mempunyai nombor siri 376241, Nik Muhamad Faiez berkata “Tiada salinan pendua bagi resit bernombor 376241 di dalam buku yang dirampas SPRM”.

Saksi pendakwaan ke-20 itu berkata, selepas menyemak buku resit itu beliau mendapati buku rujukan resit 376241 ada pada satu daripada buku yang dikemukakan kepadanya oleh pegawai di Bahagian Kewangan UMNO, Farahdzilla sebelum menyita buku dan menyerahkan salinan sitaan kepada Farahdzilla.

Terdahulu, Nik Muhamad Faiez berkata, beliau bersama seorang lagi pegawai SPRM, Mohd Afzal Tiyasin pergi ke Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 10 pagi semalam (18 Julai) bagi mendapatkan buku resit berkenaan selepas mendapat arahan daripada pegawai penyiasat SPRM Mohd Saad Bordani.

“Pada 17 Julai (Rabu) semasa saya bertugas di Mahkamah Jalan Duta, saya telah menerima arahan daripada pegawai penyiasat (Mohd Saad) yang meminta saya pergi ke pejabat UMNO di PWTC bagi mendapatkan buku resit rasmi UMNO,” katanya.

Disoal Julia buku resit itu berkaitan apa, saksi itu menjawab: “Buku resit itu berkaitan RM2 juta dan nombor siri yang dinyatakan pada resit dalam buku tersebut”.

Diminta menjelaskan apa yang berlaku setelah saksi itu sampai di pejabat UMNO terbabit, Nik Muhamad Faiez berkata, selepas sampai di pejabat UMNO, beliau bersama Mohd Afzal berjumpa dengan Farahdzilla dan memohon kerjasama supaya dia mengeluarkan buku-buku resit UMNO yang digunakan di pejabat itu.

“Setelah saya memohon, dia telah mengeluarkan buku-buku resit rasmi UMNO kepada saya,” katanya.

Di awal prosiding, Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan pihak pendakwaan memanggil saksi tambahan (Nik Muhamad Faiez) untuk memberi keterangan berkaitan resit pembayaran RM2 juta yang dikemukakan oleh Chai, yang juga saksi pendakwaan ke-19 semasa memberi keterangan pada perbicaraan kes itu, dua hari lepas.

Mohamed Zaini dalam penghakimannya berkata, pendakwaan dibenarkan memanggil sesiapa sahaja sebagai saksi yang dianggap wajar oleh mereka.

Terdahulu, Julia berhujah resit berkenaan tiada dalam pengetahuan dan milikan pihak pendakwaan sebelum perbicaraan bermula dan kewujudannya hanya diketahui setelah ia dikemukakan oleh pihak pembelaan pada 17 Julai.

“Adalah munasabah apabila pihak pendakwaan hanya menyerahkan dokumen yang bertujuan untuk menjelaskan berkenaan resit itu semasa perbicaraan berjalan. Perkara ini selaras dengan Seksyen 51A(4) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ), yang fakta jelas menunjukkan penyerahan lewat dokumen tersebut tidak dibuat secara sengaja atau dengan niat jahat,” katanya.

Peguam Datuk Tan Hock Chuan, yang mewakili Tengku Adnan berhujah tujuan Seksyen 51A KTJ adalah untuk memastikan keadilan perbicaraan dan seterusnya menegakkan integriti mahkamah dalam keadilan jenayah.

“Pihak pendakwaan bercadang untuk memulakan pemeriksaan utama ke atas SP20 (Nik Muhamad Faiez) sebelum tertuduh diberi masa mencukupi untuk memeriksa dokumen baharu itu. Ia adalah tidak adil dan bertentangan dengan Seksyen 51A KTJ,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas.

Cek itu didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang Tengku Adnan mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Tengku Adnan dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan kes itu bersambung pada 1 Ogos untuk pihak pembelaan menyoal balas Nik Muhamad Faiez. – BERNAMA


Pengarang :