SUKANKINI

Khairul Hafiz gagal ke semifinal Universiade

KUALA LUMPUR, 9 JUL : Kepulangan Khairul Hafiz Jantan ke trek yang dinanti-nantikan tidak seperti yang dijangkakan apabila raja pecut negara itu gagal mara ke separuh akhir Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Napoli, Itali.

Dalam pusingan pertama 100 meter lelaki pada petang Isnin (awal pagi Selasa di Malaysia), pelari berusia 20 tahun dari Melaka itu hanya mampu mencatatkan masa 10.70 saat (s), jauh daripada catatan masa terbaik dan rekod kebangsaannya 10.18s untuk menamatkan saingan di tempat keempat pada saringan kedua.

Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menduduki tempat ke-33 daripada keseluruhan 53 pelari pecut.

Khairul Hafiz yang bertanding buat kali pertama selepas berehat tujuh bulan kerana mendapatkan rawatan dan pembentukan fizikal dari Institut Sukan Negara (ISN), menyasarkan untuk mencatat masa bawah 10.40s oleh jurulatihnya Mohd Poad Md Kassim dalam usaha mempertahankan pingat emas Sukan SEA.

Sementara itu, rakan senegara Jonathan Nyepa juga terlepas peluang apabila menduduki tempat keempat pada 10.47s dalam saringan pertama.

Altet dari Sarawak itu berkongsi tempat ke-15 dengan Adam James Thomas dari Great Britain manakala pelari dari Afrika Selatan, Chederick van Wyk merekodkan masa terpantas 10.29 saat pada pusingan pertama.

Terdahulu, dalam acara 400 meter lelaki, Cheah Yau Chung dan Kwong Kar Jun juga gagal mara ke pusingan seterusnya apabila masing-masing hanya mampu mencatatkan masa 48.37s dan 48.89s.

-BERNAMA

 


Pengarang :