NASIONAL

Trend laporan langsung di Facebook kaedah cepat lapor kejadian

KUCHING, 9 JULAI: Trend laporan “langsung” di Facebook adalah kaedah cepat dan tepat untuk melaporkan sesuatu kejadian, kata Pengarah Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Salmah Ibrahim Melina.

Beliau berkata, pada masa kini seorang pengamal media harus mengoptimumkan teknologi yang ada kerana telefon bimbit adalah alat telekomunikasi paling dekat dengan kehidupan seharian.

“Justeru dengan laporan berbentuk “real time” (tepat masa) ini dapat membantu dunia penyampaian melaporkan berita benar di samping dapat menangkis berita palsu yang berleluasa.

“Dulu, untuk melaporkan sesuatu kejadian ia mengambil masa untuk disampaikan memandangkan jaringan komunikasi agak terhad terutamanya di kawasan pedalaman,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Kursus Mobile Journalist (Mojo) di Auditorium Kecil, RTM Kuching di sini, hari ini.

Tenaga pengajar bagi kursus itu ialah bekas pembantu Koresponden (Malaysia) Islam Online News, Dubai, Zamri Mohamad yang juga penulis 30 buah buku untuk PTS, Legacy dan Jejak Tarbiah.

Salmah berkata, secanggih mana pun teknologi yang ada pada masa kini, sebagai pengamal media etika kewartawanan harus dijunjung tinggi.

“Aspek format kerja, keperluan maklumat, tapisan dan kawalan haruslah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan agar peranan Mojo dalam organisasi dapat digerakkan secara efektif.

“Ini juga selari dengan visi dan misi kementerian dalam melahirkan pengamal media yang kompeten, berdaya saing, profesional, inovatif dan kreatif dalam bidang komunikasi dan multimedia,” katanya.

Beliau berkata kursus itu juga cetusan idea Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Gobind Singh Deo setelah melakukan lawatan kerja ke Pulau Pinang dan mendapati biro Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sana membuat siaran langsung di Facebook menggunakan telefon pintar selama dua jam tanpa henti untuk menyampaikan maklumat terkini kepada orang awam.

Seramai 35 peserta yang terdiri daripada beberapa agensi di bawah KKMM menghadiri kursus Mojo yang berlangsung selama tiga hari mulai hari ini.

-BERNAMA


Pengarang :