NASIONAL

Laporan tunggakan bayaran balik GST dibentang 16 Julai

KUALA LUMPUR, 10 JUL: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen akan membentangkan laporan berhubung tuntutan tunggakan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) RM19.4 billion di Dewan Rakyat, pada 16 Julai.

Pengerusinya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, laporan itu sudah dimuktamadkan secara sebulat suara oleh 13 ahli PAC Parlimen yang terdiri daripada pihak kerajaan serta pembangkang dalam Mesyuarat Verifikasi Laporan PAC hari ini khususnya untuk rumusan dan syor berhubung tuntutan itu.

“Saya perlu akui ia adalah satu prosiding yang lama apabila PAC Parlimen mengambil masa 11 bulan menyiapkan laporan ini dengan mengadakan 10 mesyuarat prosiding membabitkan 10 saksi termasuk bekas Menteri Kewangan II, bekas Ketua Setiausaha Perbendaraan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Akauntan Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, PAC juga mendapat taklimat daripada Jabatan Audit Negara sebanyak tiga kali serta mendapat pandangan daripada Jabatan Peguam Negara di samping mengadakan mesyuarat penyediaan laporan ini sebanyak empat kali.

Katanya, bilangan mesyuarat itu cukup membuktikan bahawa PAC Parlimen mahu memastikan siasatan diadakan mencakupi setiap aspek, untuk mencari kebenaran dan keadilan berhubung isu berkenaan demi kepentingan negara dan rakyat.

Beliau berkata, untuk menyediakan laporan itu, PAC Parlimen turut mendapat input daripada tujuh kementerian dan jabatan iaitu Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (KHE), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara (AGC), Jabatan Audit Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Jabatan Akauntan Negara.

Katanya, laporan itu amat komprehensif dan input padangan serta maklum balas daripada ketujuh-tujuh kementerian serta jabatan yang bertindak sebagai exofficio PAC Parlimen amat penting dalam memastikan segala maklumat, rumusan serta syor dalam laporan, tidak menyebelahi mana-mana pihak selain berasaskan fakta yang sah dan tepat.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada bekas Pengerusi PAC Parlimen Datuk Seri Ronald Kiandee yang memulakan siasatan serta prosiding dengan meletakkan asas kepada PAC Parlimen dalam mengadakan siasatan dan prosiding terhadap isu ini,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan laporan ini dengan memuat turun daripada lawan web PAC Parlimen di alamat www.parlimen.gov.my/pac selepas ia dibentangkan pada hari berkenaan.

– BERNAMA

 


Pengarang :