NASIONAL

Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara bincang semak fi perubatan swasta

KUALA LUMPUR, 2 JULAI: Jemaah menteri meminta supaya cadangan semakan fi perundingan pengamal perubatan am swasta dibincangkan terlebih dahulu dalam Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara sebelum sebarang keputusan diambil.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, cadangan semakan fi itu dibawa ke Kabinet pada 24 April lalu untuk persetujuan, berikutan pihaknya mengambil maklum kesukaran pengamal perubatan am swasta yang berdepan masalah kenaikan kos dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Dalam mempertimbangkan cadangan semakan fi perundingan ini, kementerian mengambil kira pandangan pelbagai pihak dengan mendapatkan pandangan daripada persatuan pengguna dan majikan daripada pelbagai sektor industri,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Charles Anthony Santiago (PAKATAN-Klang) yang ingin tahu tindakan kementerian untuk menyelaras fi pengamal perubatan swasta.

Dr Dzulkefly berkata, sesi dialog awam (town hall) membabitkan pengamal perubatan am swasta dan pihak-pihak berkepentingan juga diadakan pada 27 Ogos 2018.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan kini merancang satu pendekatan strategik untuk memperluaskan pelaksanaan Sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) di hospital dan klinik kesihatan di seluruh negara secara berfasa.

“Setakat ini, sistem EMR dilaksanakan di 35 hospital daripada 145 hospital kerajaan, manakala 118 klinik daripada keseluruhan 1,703 klinik kerajaan menggunakan produk Hospital Information System (HIS) dan Clinical Information System (CIS),” katanya.

Beliau menjawab soalan William Leong Jee Keen (PAKATAN-Selayang) yang ingin tahu perkembangan pelaksanaan EMR di hospital dan klinik kesihatan di seluruh negara.

Melalui sistem EMR, maklumat kesihatan yang berkaitan dapat dicapai mana-mana klinik atau hospital untuk tujuan rawatan dengan mengambil kira keperluan kerahsiaan maklumat pesakit itu.

-BERNAMA


Pengarang :