BERITA UTAMA

MB lancar Sistem Green Earth MPK

OLEH NADIAH ZAMLUS

KLANG, 17 JULAI : Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari melancarkan Sistem Green Earth Majlis Perbandaran Klang (MPK) (GES MPKlang) dalam misi mengurangkan pelepasan karbon menjelang 2030.

Amirudin berkata, pelaksanaan sistem itu penting bagi memantau tahap karbon di kawasan Klang khususnya di sekolah dan juga bangunan kerajaan.

“GES MPKlang ini juga dapat membantu misi serta perancangan MPK yang sebelum ini mensasarkan pengurangan 45 peratus intensiti pelepasan karbon di Klang.

“Saya amat berharap agar semua pihak dapat meneruskan usaha gigih dan dinamik bagi meneruskan kesinambungan pelaksanaan program bandar rendah karbon serta penjagaan alam sekitar yang dirancang MPK pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Wacana Perbandaran Rendah Karbon ke Arah Bandar Pintar (Smart City) di Hotel Premier, di sini, hari ini.

Hadir sama EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian dan Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin.

Sementara itu Yasid dalam ucapannya berkata, GES MPKlang digunakan khusus bagi merancang, mengukur, merekod, memantau dan menganalisis pelaksanaan dan pencapaian pelepasan rendah karbon di MPK.

Katanya, sistem itu juga merupakan sistem Bandar Rendah Karbon yang pertama dibina di Selangor mahupun negara ini.

“Ia menyediakan data perancangan yang lebih jelas dan tepat, menerusinya juga terdapat forum bagi orang awam membincangkan berkaitan pelaksanaan rendah karbon dan bertukar pandangan.

“Untuk makluman sistem ini telah mendapat beberapa pengiktirafan di peringkat antarabangsa,” katanya.


Pengarang :