EXCOSELANGOR

Kerajaan perlu menyelami sentimen pengundi 18 tahun

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 17 JUL: Pindaan had umur mengundi kepada 18 tahun memberi cabaran baharu kepada Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, hal ini kerana golongan berumur 18 tahun ini mempunyai sentimen berbeza dengan pengundi lebih dewasa.

“Saya menyambut baik pindaan ini dan bermakna tanggungjawab golongan muda semakin besar dan ini menyebabkan kita perlu mengenali mereka dengan lebih rapat, bermula dari umur 13 tahun lagi.

“Kami di Selangor perlu sentiasa lebih kemas kini dalam mengikuti perkembangan belia dan saya yakin ramai Ahli Dewan Negeri giat mendekati belia sebelum ini lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan Sidang Media Kejohanan Sukan Selangor (SUKSES) Ke-13, 2019 di Majlis Sukan Negeri Selangor di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Mohd Khairuddin juga yakin pindaan itu akan memberi kesan peratusan keluar mengundi yang tinggi pada pilihan raya nanti.

Katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memainkan peranan pro aktif bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.

“SPR perlu memberi penerangan tentang proses mengundi di samping menambah baik sistem yang ada bagi mengelakkan kekecohan dan kesesakan semasa proses pengundian seperti Pilihan Raya Umum lalu,” katanya.


Pengarang :