NASIONAL

MBM sokong usia pengundi dipinda 21 kepada 18 tahun

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 1 JUL: Majlis Belia Malaysia (MBM) menyokong sepenuhnya usaha kerajaan yang mahu meminda had usia pengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Presidennya, Jufitri Joha berkata, perkara itu selari dan konsisten dengan sokongan dinyatakan sebelum ini oleh mantan Presiden MBM, Muammar Ghaddafi Jamal Jamaluddin ketika Ucapan Dasar Presiden MBM di Majlis Perhimpunan Agung Tahunan MBM kali ke-67 pada 5 Oktober tahun lalu.

Katanya, pihaknya berpendapat bahawa sudah sampai masanya anak muda di Malaysia diberi hak yang sama seperti warganegara lain.

“Hak untuk mengundi adalah salah satu hak asasi terpenting bagi setiap warganegara di dalam sesebuah negara dan itu yang membezakan seseorang warganegara dan bukan warganegara.

“MBM juga berpendirian bahawa pindaan ini adalah selari dengan Akta Umur Dewasa 1971 iaitu Seksyen 2 Akta berkenaan sudah menetapkan bahawa umur 18 adalah umur dewasa di Malaysia.

“Oleh itu, setiap warganegara dewasa sepatutnya diberi hak yang sama untuk bersama menentukan masa depan negara tercinta ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Jufitri berkata, kebanyakan negara lain sudah menetapkan 18 tahun adalah usia layak mengundi manakala hanya sembilan negara sahaja masih meletakkan had mengundi pada 21 tahun.

“Maka wajarlah Malaysia sebagai sebuah negara yang sudah mempunyai demokrasi matang untuk turut sama mengambil langkah ke arah menurunkan usia pengundi seperti diamalkan negara lain,” katanya.

Mengulas ke arah perubahan itu, beliau berkata, MBM juga menyeru kepada kerajaan untuk menyediakan belia dengan pendidikan demokrasi secukupnya.

Katanya, pendidikan yang memberi pendedahan kepada perjalanan demokrasi dan pilihanraya di negara ini hendaklah diberikan seawal mungkin supaya belia yang akan menjadi pemilih kali pertama pada pilihan raya akan datang sudah bersedia serta mampu untuk menjalankan amanah penuh rasa tanggungjawab.

“Manakala, kami juga sudah mula mengorak langkah berkenaan dengan mewujudkan program Sekolah Politik MBM untuk memberi pendedahan berkenaan pendidikan demokrasi kepada belia khususnya ahli di dalam persatuan belia.

“Kami berharap satu usaha untuk melihat semula kurikulum di sekolah berkenaan pendidikan demokrasi diadakan dengan secepat mungkin oleh kerajaan,” katanya.


Pengarang :