PBTSELANGOR

MBPJ anjur Ekspo Buku Petaling Jaya 2019

PETALING JAYA, 28 JUL: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan kerjasama Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) julung kali akan menganjurkan Ekspo Buku Petaling Jaya 2019 atau dikenali sebagai Petaling Jaya Book Expo (PJBX) 2019.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Sayuthi Bakar berkata, PJBX 2019 akan berlangsung selama enam hari mulai 30 Julai hingga 4 Ogos ini di Dewan D’Kelana, Kompleks Sukan Kelana Jaya di sini.

Katanya, penganjuran ekspo itu bertujuan untuk menarik minat serta menyemai budaya membaca di kalangan penduduk Petaling Jaya.

“Penganjurannya dapat memberi ruang serta peluang kepada penerbit buku terkenal tempatan terutamanya ahli MABOPA.

“Mereka menampilkan buku terbitan serta bahan bacaan berilmiah dan menarik secara terus kepada penduduk Petaling Jaya dengan harga promosi berpatutan,” katanya dalam sidang media, baru-baru ini.

Mohd Sayuthi berkata, ia juga selaras dengan aspirasi Petaling Jaya yang dianugerahkan sebagai Bandar Pembelajaran 2019 oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains Dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Untuk makluman pada 31 Januari lalu, Petaling Jaya dinobatkan antara 10 bandar di dunia yang menerima pengiktirafan sebagai Bandar Pembelajaran 2019.

“Anugerah ini diberikan UNESCO di atas pelbagai pencapaian cemerlang dan inisiatif diusahakan MBPJ khususnya di dalam bidang pendidikan,” katanya.

Ekspo berkenaan dibuka bermula jam 10 pagi hingga 9 malam pada Selasa hingga Khamis dan Ahad, manakala sehingga 12 tengah malam pada Jumaat dan Sabtu.

PJBX 2019 turut dipenuhi pengisian acara dan aktiviti menarik buat kanak-kanak, murid sekolah, pelajar universiti, golongan dewasa serta warga emas melalui persembahan dialog, perbincangan, aktiviti pembelajaran dan sebagainya yang dijalankan di pentas utama juga sekitar lokasi.

Antara acara menarik di PJBX 2019 ialah kemunculan maskot Didi & Friends serta Omar & Hana, sesi ‘Sembang Kopi Learning City’, sesi bercerita, bacaan sajak, pertandingan mewarna, aktiviti kraftangan serta aktiviti dianjurkan Perpustakaan Negara Malaysia – Malaysian Board on Books for Young People (MBBY).

Sebanyak 30 penerbit yang terdiri daripada ahli MABOPA telah mengesahkan penyertaan untuk menjual buku mereka dengan harga potongan sehingga 80 peratus.


Pengarang :