PBTSELANGOR

MDKL bawa enam kes ke mahkamah

SHAH ALAM, 26 JUL: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) membawa enam kes untuk tindakan undang-undang susulan kegagalan mengikut peraturan dan garis panduan pembinaan bangunan serta tidak mematuhi undang-undang jalan raya.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, pihaknya kesal apabila masih terdapat mereka yang tidak bertanggungjawab mengabaikan aspek keselamatan membina bangunan tanpa kebenaran MDKL demi meraih keuntungan.

“Enam kes telah dibawa ke mahkamah Telok Datok untuk dibicarakan. Dua daripadanya difailkan dapat dibicarakan manakala baki empat kes tidak dapat dibicarakan kerana mereka tidak menghadiri hari perbicaraan.

“Selain itu, satu kes membabitkan undang-undang jalan raya juga telah didakwa di mahkamah baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan.

Bagi kes pertama, Lay Chee Chuan telah didakwa di mahkamah di bawah kesalahan Undang-Undang Kecil 3(1) (a), Undang-Undang Kecil Penternakan Burung Walit dan dijatuhi denda sebanyak RM900.00.

Manakala kes kedua pula, Majita Elanovan didakwa di atas kesalahan Perenggan 51(1) Perintah Pengangkutan Jalan dijatuhi denda sebanyak RM100 oleh mahkamah.

Bagaimanapun, beliau tidak hadir kerana masalah kesihatan dan diwakili bapanya.

Mohamad Zain berkata, beberapa individu lain yang melakukan kesalahan telah hadir ke Pejabat Undang-Undang MDKL untuk menjelaskan denda masing-masing.

“Toh Tuan Chai yang tidak hadir ke mahkamah baru-baru ini telah hadir ke Pejabat Undang-Undang MDKL menjelaskan denda beserta tunggakan kompaun berjumlah RM1,700.

“Beliau telah melakukan kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil 3 (1) (a), Undang-Undang Kecil Penternakan Burung Walit dan telah membayar denda RM900 beserta tunggakan kompaun RM800.

“Selain itu, mereka yang didapati telah melakukan kesalahan juga telah menghadirkan diri ke Pejabat Undang-Undang MDKL serta telah menjelaskan bayaran denda dikenakan di atas kesalahan dilakukan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, MDKL bersama Pejabat Daerah Tanah (PDT) Kuala Langat dan Polis DiRaja telah menyerbu sebuah kawasan yang dibangunkan tanpa kebenaran di Bukit Jugra.

Operasi bersepadu yang turut melibatkan Jabatan Perancangan Pembangunan, Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Kejuruteraan dan Jabatan Penguatkuasa MDKL menyaksikan Jabatan Perancangan Pembangunan mengambil tindakan di bawah Seksyen 18(1) Akta 172 dengan sabitan di bawah Seksyen 26(1) Akta 172.

“Tindakan turut diambil di bawah Seksyen 94, Permohonan Perintah Ex Parte iaitu permohonan perintah mahkamah tanpa sabitan dan Seksyen 70(13) (c) Akta 133 untuk binaan. MDKL kini sedang dalam siasatan dan akan terus menjalankan pendakwaan di mahkamah,” katanya.


Pengarang :