EKONOMI

Pengambilan untung menyebabkan Bursa Malaysia ditutup rendah

KUALA LUMPUR, 24 JUL: Aktiviti pengambilan untung mengheret Bursa Malaysia untuk ditutup rendah hari ini, bagaimanapun saham mencatatkan prestasi bercampur-campur di pasaran yang lebih meluas, menjejaki perkembangan positif mengenai perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China.

Ketika ditutup hari ini, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 3.26 mata atau 0.2 peratus kepada 1,652.41 berbanding 1,655.67 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks penanda aras dibuka 1.78 mata lebih rendah kepada 1,653.88 dan bergerak antara 1,651.36 dan 1,659.38.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi 444 kepada 431, manakala 434 kaunter tidak berubah, 611 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan naik kepada 3.22 bilion unit bernilai RM2.29 bilion berbanding 2.77 bilion unit bernilai RM2.01 bilion semalam.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata walaupun FBM KLCI mengalami tekanan di bawah paras rintangan purata pergerakan 200 hari, namun momentum kenaikan berterusan Bursa Malaysia dijangka berlarutan.

“Ini menunjukkan prestasi daya tahan saham kukuh berbanding saham rendah dalam membawa indeks itu ke paras lebih tinggi. Selagi sokongan pada 1,600 mata tidak terjejas, kami yakin kecenderungan Bursa Malaysia untuk meningkat tinggi seperti dicatatkan pada pertengahan Mei masih boleh berlaku,” katanya.

Nazri berkata indeks itu akan menjejaki peningkatan di Wall Streets bagi saham seperti dicatatkan Facebook, Tesla, Boeing, Google, Amazon dan Intel pada minggu ini.

Dalam jangka terdekat, sentimen sewajarnya lebih ke arah belian semasa harga rendah berikutan pelabur menunggu pengurangan kadar faedah yang dijangka dilaksanakan oleh AS dan European Central Bank bagi mendapatkan petunjuk lebih jelas untuk jangka panjang.

“Tanpa mengambil kira pergerakan lemah yang bersifat sementara dalam pasaran global, kami melihat ini sebagai satu peluang untuk pembeli semasa harga rendah membuat belian lebih awal menjelang kemungkinan pelarasan monetari Rizab Persekutuan AS yang rendah,” kata Nazri.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data indeks harga pengguna bagi Jun 2019 yang meningkat kepada 1.5 peratus daripada 0.2 peratus menunjukkan pembelian isi rumah telah berkurangan.

“Peningkatan mendadak kadar inflasi disebabkan asas rendah pada Jun 2018, diikuti pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan berkadar sifar dari Jun hingga Ogos 2018,” katanya.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank susut enam sen kepada RM8.76, Public Bank kurang 10 sen kepada RM22.70, Tenaga merosot lapan sen kepada RM13.74, manakala Axiata naik dua sen kepada RM5.15.

Bagi saham aktif, KNM menambah 4.5 sen kepada 41 sen, Priceworth International jatuh setengah sen kepada 6.5 sen dan Netx tidak berubah pada 1.5 sen.

Indeks FBM Emas turun 19.11 mata kepada 11,756.54, Indeks FBMT 100 berkurangan 22.75 mata kepada 11,576.38 dan Indeks Emas Syariah jatuh 34.03 mata kepada 12,133.26.

FBM 70 menyusut 28.93 mata kepada 14,864.34 namun FBM Ace meningkat 17.36 mata kepada 4,767.53.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 84.65 mata kepada 16,419.87, Indeks Produk dan Perkhidmatan jatuh 1.41 mata kepada 154.39 dan Indeks Perladangan rendah 4.54 mata kepada 6,804.91.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.25 bilion saham bernilai RM2.1 bilion daripada RM1.82 bilion saham bernilai RM1.83 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran naik kepada 520.19 juta unit bernilai RM105.67 berbanding 410.86 juta unit bernilai RM84.42 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE jatuh kepada 445.06 juta saham bernilai RM83.25 juta berbanding 536.22 juta saham bernilai RM97 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang bagi 296.11 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (377.55 juta), pembinaan (150.20 juta), teknologi (187.68 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (35.17 juta), hartanah (119.90 juta), perladangan (11.70 juta), REIT (13.79 juta), dana tertutup (2,000),tenaga (525.63 juta), penjagaan kesihatan (11.93 juta), telekomunikasi dan media (158.89 juta), pengangkutan dan logistik (39.99 juta) dan utiliti (22.38 juta). – BERNAMA


Pengarang :