AGENDANASIONAL

Perbicaraan Najib ditangguh kerana peguam kurang sihat

KUALA LUMPUR, 24 JUL: Perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini ditangguhkan ke esok berikutan peguam yang mewakili Najib, Harvinderjit Singh tidak sihat

Seorang lagi peguamnya Wan Aizuddin Wan Mohamad juga memberitahu mahkamah bahawa selain Harvinderjit, ketua pasukan pembelaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah juga tidak dapat menghadiri prosiding hari ini kerana beliau terlibat dalam satu perbicaraan lain di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi yang lain.

“Atas alasan itu kami dengan rendah hati memohon perbicaraan pada hari ini ditangguhkan dan disambung esok seperti yang telah dijadualkan,” katanya pada hari ke-43 perbicaraan Najib terhadap tujuh pertuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Harvinderjit sepatutnya menyambung pemeriksaan balas pihak pembelaan terhadap saksi pendakwaan ke-54 yang juga bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali juga bertanya kepada pasukan pembelaan sama ada mereka ada peguam lain yang boleh menjalankan pemeriksaan balas terhadap Yu.

Wan Aizuddin menjawab beliau tiada menerima apa-apa permintaan lanjut dan sehubungan dengan ketidakhadiran para peguam itu, beliau merayu supaya prosiding hari ini ditangguhkan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram berkata pihak pendakwaan hanya menerima panggilan daripada Harvinderjit pada 6.30 pagi untuk memaklumkan bahawa beliau tidak sihat dan tiada apa yang boleh dilakukan sekiranya peguam bela sakit.

“Kami mahu kes ini diteruskan mengikut jadual tetapi pagi ini peguam bela tidak sihat. Kami bersedia jika prosiding hari ini digantikan pada 9 Ogos, sebagai tarikh gantian,” katanya.

Sithambaram berkata, pihak pendakwa tidak memanggil saksi lain untuk hari ini kerana mereka diberi notis yang sangat pendek.

Hakim Mohd Nazlan membenarkan prosiding hari ini ditangguhkan ke 9 Ogos.

Beliau juga memerintahkan Harvinderjit supaya mengemukakan sijil sakitnya esok dan pihak pendakwa boleh memanggil saksi lain sekiranya peguam bela masih tidak sihat.

Najib, 66, menghadapi tiga tuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan tiga pertuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

– BERNAMA


Pengarang :