AGENDANASIONAL

Perjanjian CECA-India lindungi kepentingan industri minyak sawit

KUALA LUMPUR, 24 JUL: Malaysia tidak perlu terlalu bimbang dengan laporan berita bahawa India mungkin menaikkan duti import minyak sawit ditapis, berikutan kedua-dua negara telah menandatangani Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif (CECA).

Pakar minyak sawit, M.R. Chandran berkata, permohonan meningkatkan duti import dibuat syarikat penapis minyak makan India menerusi Persatuan Pengekstrak Pelarut (SEA) dan bukan daripada kerajaan sendiri.

“Saya tidak fikir India akan melakukan ini dan saya sangsi bahawa duti import sedia ada ke atas minyak sawit ditapis, yang kini pada 45 peratus, akan dinaikkan kerana kami mempunyai perjanjian dengan India dan anda tidak boleh melangkaui kuantum yang telah dipersetujui tanpa perbincangan.

“Anda boleh rundingi semula, tetapi anda tidak boleh mengubahnya tanpa memberitahu pihak satu lagi,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

SEA, dalam surat kepada Perdana Menteri India Narendra Modi, telah meminta kerajaan menaikkan duti import minyak sawit ditapis dari Malaysia untuk melindungi industri tempatan berikutan peningkatan penghantaran masuk ke negara itu dari negara Asia Tenggara.

Chandran, yang juga penasihat kepada lembaga eksekutif Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Mampan berkata, jika SEA ingin menjadikan duti import minyak sawit ditapis Malaysia pada kadar sama dengan rakannya Indonesia, persatuan itu sepatutnya merayu untuk mengurangkan duti penghantaran dari Indonesia, bukan dengan menaikkan tarif ke atas Malaysia.

Pada Januari lalu, sebagai sebahagian daripada CECA, India mengurangkan duti import minyak sawit, mengurangkan duti minyak sawit mentah daripada negara anggota ASEAN, termasuk Malaysia, kepada 40 peratus daripada 44 peratus, dan duti bagi minyak sawit ditapis Malaysia kepada 45 peratus daripada 54 peratus.

Sementara itu, duti bagi minyak sawit ditapis daripada Indonesia dikurangkan kepada 50 peratus daripada 54 peratus.

India kini adalah pengimport minyak sayur-sayuran terbesar di dunia, dengan keperluan bulanan 1.9 juta tan.

Malaysia dan Indonesia adalah pembekal minyak sawit utama untuk negara itu.

Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng berkata, jika kerajaan India terus menaikkan cukai ke atas import minyak sawit, kemungkinan akan menyebabkan kemerosotan permintaan dalam jangka pendek, yang akan menambah tekanan ke atas paras stok di negara itu secara menyeluruh.

“Harga rendah ketika ini sebahagian besarnya disebabkan oleh permintaan yang lemah dan kitaran pengeluaran yang tinggi.

“Bagaimanapun, kami menjangkakan permintaan secara beransur-ansur akan meningkat pada suku ketiga tahun ini, berikutan faktor musim, yang mungkin akan menyokong harga pada paras antara RM1,900 dan RM2,200 satu tan untuk baki tahun ini,” katanya.

Ng berkata, dasar afirmatif seperti mandat biobahan api adalah satu daripada inisiatif utama yang boleh diambil oleh kerajaan untuk mengurangkan paras stok di negara ini secara menyeluruh.

“Di samping dasar biobahan api, kita juga boleh meningkatkan usaha promosi, terutamanya dalam memasarkan minyak sawit ke destinasi utama seperti China dan India.

“Menyelesaikan isu alam sekitar yang disebarkan oleh negara-negara di Kesatuan Eropah boleh menjadi langkah yang baik untuk meningkatkan permintaan bagi minyak sawit Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :