EXCOSELANGOR

EXCO sokong henti jual ‘Ghost Smoke’

SHAH ALAM, 24 JULAI: EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud menyambut baik usaha kerajaan yang mahu menghentikan penjualan gula-gula ‘Ghost Smoke’.

Beliau juga meminta ibu bapa supaya memantau perkembangan anak masing-masing supaya gejala berkenaan dapat dibendung.

“Ibu bapa pula tidak boleh melepaskan tanggungjawab kepada pihak sekolah atau pihak berkuasa. Mereka perlu memantau aktiviti anak-anak mereka bagi memastikan tiada yang terbabit.

“Macam-macam sekarang ni. Selain jam digital boleh bertukar menjadi vape, gula-gula yang disedut dan boleh dihembus menjadi asap pula semakin menjadi-jadi.

“Apa yang dimaklumkan serendah RM1. Duit yang diberi untuk makan, beralih pula untuk beli gula-gula seperti ini. Ibu bapa pantaulah anak-anak,” katanya melalui hantaran di Facebook.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu penjualan gula-gula ‘Ghost Smoke’ yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut dihentikan segera.

“Saya tidak mahu perkara ini menjadi penyakit masyarakat yang menular dalam kalangan kanak-kanak dari kecil lagi,” katanya yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dr Wan Azizah juga tidak menolak kemungkinan gula-gula berkenaan boleh menjadi permulaan kepada masalah penagihan dadah.

Akhbar baru-baru ini melaporkan kewujudan pelbagai jenis vape bersaiz kecil antaranya berbentuk pen, jam tangan, pemetik api, pemacu pena hingga ada antaranya bersaiz sebesar kotak mancis antara punca vape menjadi kegilaan baru murid serta pelajar sekolah.

Isu itu mendapat reaksi banyak pihak, termasuk Majlis Pengetua Sekolah Malaysia yang mahu tindakan proaktif diambil segera untuk menangani isu berkenaan.


Pengarang :