BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN

Selangor pusat pelaburan Asia Tenggara, rumah aeroangkasa negara

SUBANG, 27 JUL: Selangor menjadi pusat pelaburan dan pengkalan utama dalam industri membabitkan Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) di rantau Asia Tenggara.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, maka tidak menghairankan apabila sebanyak 62 syarikat aeroangkasa di Malaysia menjadikan Selangor sebagai ‘rumah’ mereka.

“Rangka Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 telah menetapkan visi untuk Malaysia menjadi negara aeroangkasa nombor satu di Asia Tenggara dengan pendapatan tahunan RM55.2 bilion serta mewujudkan lebih 32,000 pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Adanya dua lapangan terbang dan trafik udara tertinggi di negara ini, Selangor menyediakan persekitaran serta infrastruktur paling kondusif untuk kluster penerbangan juga berdaya maju,” katanya.

Amirudin berkata demikian ketika menghadiri Majlis Sambutan 100 Tahun GE Aviation’s dan Pengijazahan Inisiatif Kemahiran Teknikal Dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) di ibu pejabat GE Engine Services Malaysia Sdn Bhd (GE Engine Services) di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain itu Selangor turut menawarkan infrastruktur canggih, tenaga kerja mahir terlatih dan berpendidikan tinggi kepada pemain industri terbabit.

Katanya, antara syarikat mendapat manfaat daripada pertumbuhan industri aeroangkasa adalah GE Engine Services yang beroperasi di sini sejak 1997 apabila mengumumkan pelaburan bernilai RM320 juta.

“Saya dimaklumkan GE Engine Services telah menjadi pemain utama dalam sektor MRO dan penerbangan global.

“Kerajaan Negeri dengan sukacita mengakui syarikat ini menjana kira-kira satu pertiga daripada pendapatan dalam bidang MRO di Malaysia hari ini,” katanya.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :