Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam. Foto BERNAMA
SUKANKINI

Selepas Liridon, De Paula, dua lagi pemain Eropah dinaturalisasikan?

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 JUL: Selepas mengesahkan kehadiran dua pemain naturalisasi baharu iaitu pemain Melaka United, Liridon Krasniqi dan penyerang Kuala Lumpur, Guilherme De Paula, dua lagi pemain dijangka mengikut jejak sama.

Pemain muda berdarah kacukan Malaysia berpangkalan di Eropah itu dikatakan berminat menyarung jersi Harimau Malaya.

Perkara itu disahkan sendiri Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam seperti dilaporkan Fox Sports kelmarin.

“Dua pemain terbabit, salah seorang berusia 21 tahun dan kini sedang beraksi di Jerman manakala seorang lagi 18 tahun dan beraksi di England.

“Kedua-dua pemain serius untuk dipertimbangkan FAM dalam usaha memperkuatkan skuad Harimau Malaya,” katanya.

Katanya, FAM telah menghantar dokumen berkaitan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Selasa lalu untuk dipertimbangkan dan disahkan mempunyai darah keturunan warganegara Malaysia.

Sebelum ini, bintang Pahang kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh dan pertahanan kental Johor Darul Takzim berdarah kacukan Malaysia – Barbados, La-vere Corbin Ong dinaturalisasikan bagi menyarung jersi Harimau Malaya pada pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023.

Selain Sumareh dan Corbin Ong, pemain naturalisasi lain dalam skuad sama adalah Matthew Davis (Pahang).


Pengarang :