NASIONAL

Dua penganggur ditahan dipercayai proses ketum

IPOH, 5 JUL: Dua penganggur ditahan ketika dipercayai sedang memasukkan botol minuman yang disyaki berisi air ketum ke dalam sebuah tong di rezab sungai Kampung Behrang Ulu, Behrang dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Muallim Supt Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata kedua-dua lelaki tempatan berusia 32 dan 34 tahun itu ditahan pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Muallim dan Balai Polis Behrang pada kira-kira pukul 2.30 petang.

“Polis turut merampas 30 botol plastik minuman berisipadu 1.5 liter berisi cecair yang disyaki air ketum serta tong berwarna jingga berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati cecair itu dimasak sendiri dan bekalan daun ketum pula diperoleh dari kebun rezab sungai di kampung berkenaan.

“Suspek yang beralamat di Felcra Nasaruddin Belia Bota Kanan dan Kampung Sungai Sekiah Behrang Ulu itu menanam lebih kurang 200 pokok dan memproses daun ketum di lokasi itu,” katanya.

Wan Kamarul Azran berkata pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua suspek mendapati salah seorang daripadanya positif dadah dan turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – BERNAMA


Pengarang :