AGENDANASIONAL

SIRIM kongsi kepakaran dengan 12 delegasi luar negara

SHAH ALAM, 30 JULAI: SIRIM berkongsi kepakaran bersama delegasi antarabangsa berkenaan amalan terbaik Islam dan perindustrian bagi pembuatan produk kesihatan, makanan dan kosmetik serta sistem penapisan air untuk perusahan kecil dan sederhana.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) 2019 itu mampu mewujudkan usahasama dalam bidang lain bersama SIRIM dan negara yang terbabit terutama daripada aspek kepakaran teknikal.

Katanya, program selama 12 hari itu membabitkan 21 peserta dari 12 negara, iaitu Azerbaijan, Fiji, Indonesia, Laos, Malawi, Mongolia, Nepal, Sri Lanka, Timor-Leste, Qatar, Lesotho dan Zimbabwe.

“Kami berharap pengalaman dan ilmu yang diperoleh pada program ini bukan hanya akan memberi manfaat kepada peserta yang hadir malah kepada organisasi dan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup MTCP 2019, pada 19 Julai lalu.

Program anjuran SIRIM STS Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh SIRIM itu dijalankan serentak di Shah Alam dan di Kulim, Kedah.

Pada masa sama, Dr Ahmad Fadzil berkata, SIRIM STS berpengalaman lebih 20 tahun dan membantu organisasi awam serta swasta meningkatkan daya saing mereka melalui Standard, Kualiti, Teknologi dan Amalan Terbaik.

MTCP adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan Malaysia untuk menggalakkan kerjasama teknikal di antara negara membangun, memperkuat kerjasama serantau antara dua negara serta memupuk kebergantungan kolektif.

Program itu dilancarkan secara rasmi pada 7 September 1980 di Mesyuarat Ketua-Ketua Negara
Komanwel di New Delhi.


Pengarang :