KUALA LUMPUR, 2 Julai — Ketua Pegawai Operasi Malaysian Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd (tengah) ketika sidang media pada Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Shopee Piala FA 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. Turut sama Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kedah Shahrul Samsudin (kiri) dan Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak Tajul Hasnan Omar. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
SUKANKINI

Tiada acara sukan di Stadium Bukit Jalil sehingga akhir Piala FA

KUALA LUMPUR, 2 JUL: Tiada sebarang acara sukan akan dianjurkan di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memastikan keadaan padang pada tahap terbaik menjelang aksi akhir Piala FA 2019 antara Perak dan Kedah yang dijadual 27 Julai ini.

Ketua Pegawai Operasi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd berkata jaminan diberikan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) itu bertujuan supaya kedua-dua pasukan menikmati perlawanan akhir tanpa memikirkan masalah kualiti padang yang sering dibangkitkan.

Beliau berkata, PSM mengesahkan stadium kebanggaan rakyat Malaysia yang pernah menjadi venue pembukaan rasmi Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 itu akan ditutup kepada sebarang penganjuran aktiviti sehingga perlawanan akhir itu.

“Rentetan dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 tempoh hari, Kedah dan Perak turut menyuarakan persoalan sama dan pihak stadium mengesahkan dari tarikh ini sehingga 27 Julai, memang akan ada penambahbaikan dan rutin penjagaan padang untuk pastikan masalah sama tidak berlaku.

“… dan sehingga tarikh final itu juga, pihak stadium mengesahkan padang memang tidak akan digunakan untuk apa-apa acara sukan. Itu jaminan diberikan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Piala FA 2019 di sini, hari ini.

Pada masa sama, mesyuarat dihadiri kedua-dua wakil pengurusan pasukan turut menyaksikan 80,000 keping tiket termasuk 2,000 untuk kanak-kanak dengan pecahan harga RM50 dikenakan untuk tiket dewasa, sementara harga tiket untuk kanak-kanak bawah 12 tahun adalah RM5.

Mohd Shazli berkata, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) masing-masing mendapat peruntukan 30,000 tiket dewasa dan 750 tiket untuk kanak-kanak berusia bawah 12 tahun bagi perlawanan itu.

“Baki 18,000 tiket dewasa dan 500 tiket kanak-kanak akan dijual secara dalam talian dan ia akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Perak mara ke perlawanan akhir selepas bangkit mengatasi juara bertahan, Pahang dengan agregat 4-3, manakala Kedah menempah slot final menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan selepas terikat dengan agregat 3-3, pada aksi separuh akhir.

Untuk rekod, Perak muncul juara pada 1990 dan 2004, manakala Kedah juara empat kali dengan kali terakhir pada edisi 2017. – BERNAMA


Pengarang :