NASIONAL

Suboh: Nik Faisal ada ‘gunung di belakangnya’

KUALA LUMPUR, 2 JUL: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil umpama ada ‘gunung di belakangnya’ dan dia kukuh dengan kedudukannya sebagai CEO dalam syarikat berkenaan.

Bekas pengarah bukan eksekutif SRC, Datuk Suboh Md Yassin memberi dua sebab beliau berkata demikian.

“Tahukah anda, dia diperkasa oleh kedudukannya, kenapa? Pertamanya, dia adalah CEO syarikat berkenaan, dia seorang yang amat berkuasa.

Keduanya, dia diperkasakan kerana dia ada seseorang di belakangnya seperti kata peribahasa Cina ‘gunung di belakangnya’. Inilah beliau, jadi dia tolak kita ke tepi, mengurangkan kita sebagai lembaga pengarah kepada sehingga tiada apa-apa.

“Saya mahu saja menjelaskan hari itu, tetapi anda semua (peguam) membantah. Jadi saya tidak menjelaskannya,” katanya apabila disoal balas oleh peguam Harvinderjit Singh, yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak.

Harvinderjit menjelaskan kepada Suboh berhubung karakter Nik Faisal yang mana saksi pendakwaraya yang ke-42 itu telah memberi persepsinya mengenai perkara itu.

Harvinderjit : Tidak ada mesyuarat ahli lembaga, tiada resolusi, tiada keputusan yang memaparkan mesyuarat ahli lembaga di mana lembaga melantik Nik Faisal untuk satu tugas sebagai penghubung antara lembaga dan Datuk Seri Najib?

Suboh : Tidak dalam hubungan itu

Harvinderjit : Andaian Datuk bahawa Nik Faisal berurusan dengan Datuk Seri Najib berdasarkan kepada Nik Faisal telah memberitahu lembaga bahawa beliau mengadakan perbincangan dan mesyuarat dengan Datuk Seri Najib. Betul Datuk?

Suboh : Ia lebih daripada itu…

Harvinderjit: Dia seorang yang pintar, bila dia bercakap Datuk tidak ada sebab untuk meragui apa yang dia kata?

Suboh : Ya

Harvinderjit : Nik Faisal mampu menipu anda dan ahli lembaga dengan andaian dia telah berkomunikasi dengan Datuk Seri Najib

Suboh : Saya tidak tahu

Didesak lagi berhubung kenyataannya bahawa Nik Faisal dan “gunung di belakangnya” dan pemerkasaannya berdasarkan kepada persepsi saksi dan apabila Suboh mahu menjelaskannya lebih lanjut, peguam berkenaan mencelah hingga menyebabkan pendakwaraya ad-hoc, Datuk V. Sithambaram berdiri dan berkata kepada peguam berkenaan “Anda perlu biarkan dulu dia menjawab. Adalah sungguh tidak adil apabila saksi cuba untuk menjawab dan pihak pembela menghentikannya dengan pantas seolah-olah mereka berpendapat jawapan itu tidak betul’.

Perbalahan antara pihak pembela dan pendakwa bermula dengan kedua-dua pihak berdiri dan berhujah mengenai perkara itu.

Seorang lagi peguam Najib, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, yang juga bekas Peguam Cara Negara II, menjelaskan bahawa pada peringkat soal-balas itu, saksi hanya menjawab kepada soalan yang diajukan oleh peguam berkenaan dan dia boleh saja menjelaskan lanjut semasa soal-balas oleh pendakwaraya.

“Inilah tujuan disoal-balas, saksi hanya menjawab apa yang ditanya peguam,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd Yusoff juga berkata, sesi soal-balas itu telah menjadi sesi komentar sejak hari pertama perbicaraan.

“Kenapa tidak sahaja kita bertanya soalan yang tepat? Komentar mengelirukan saksi,” katanya.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian berkata jenis jawapan bergantung kepada soalan, di mana sesetengah soalan mungkin memerlukan satu penjelasan yang lebih panjang dan saksi berkenaan berhak untuk menjawabnya.

Perbicaraan disambung esok. – BERNAMA


Pengarang :