BERITA UTAMA

Tiada tangkapan baharu isu pencemaran diesel

SHAH ALAM, 28 JUL: Tiada tangkapan baharu dan siasatan lanjut masih dijalankan dalam isu kes pencemaran diesel di Sungai Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, manakala tempoh reman terhadap pengusaha pontun yang ditahan baru-baru ini, dilanjutkan sehari lagi.

Katanya, reman lelaki berusia 30an itu dilanjutkan sehingga esok bagi membantu siasatan kes pencemaran berkenaan.

“Seorang lagi pekerja ditahan sebelum ini bersama pengusaha pontun itu dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

“Setakat ini, tiada tangkapan baharu dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi.

Noor Azam berkata, sehingga kini polis merekodkan lebih 10 keterangan membabitkan kes berkenaan.

Terdahulu, kedua-dua lelaki itu ditahan polis pada Rabu lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Pada Jumaat lalu, sebanyak 1,191,942 akaun pelanggan di wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas dengan gangguan air tidak berjadual berikutan insiden pencemaran diesel yang dikesan di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 serta Loji Rawatan Air Rantau Panjang dekat sini.


Pengarang :