AGENDANASIONAL

UKM bakal hasil pencuci luka khas diabetes

SHAH ALAM, 31 JULAI: Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) melalui Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal menghasilkan pencuci luka khas diabetes yang mampu mempercepatkan proses penyembuhan penyakit berkenaan.

Ketua Unit Trauma dan Kecederaan Kaki, Buku Lali/Rawatan Kaki Diabetes, Jabatan Ortopedik dan Traumatologi HCTM, Prof Madya Dr Mohd Yazid Bajuri berkata, penghasilan ubatan itu adalah melalui kajian yang akan dijalankan bersama Cell Tissue Technology Sdn Bhd.

Katanya, penyakit kencing manis (diabetis) memerlukan penjagaan yang optimum bagi mencegah kesemua bakteria dan kuman yang ada pada luka terbabit.

“Sekarang ini apa yang ada di pasaran, ubatan hanya spesifik kepada bakteria tertentu sahaja.

“Sedangkan sebenarnya bakteria itu bercampur dan bila bercampur, agak sukar bagi ubat sedia ada melawan bakteria pada luka berkenaan sehingga menyebabkan ia lambat baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangangi Perjanjian Penyelidikan antara UKM dengan Cell Tissue Technology Sdn Bhd dan NovaMedika Sdn Bhd, baru-baru ini.

Pada masa sama, Mohd Yazid berharap kajian itu akan dapat mewujudkan penyelesaian yang mampu melawan semua bakteria, pada harga murah.

Pencuci luka khas itu dijangka akan dijual pada harga kira-kira RM20.


Pengarang :