AGENDA

50,000 topi keledar diedar ke sekolah rendah

PETALING JAYA, 23 OGOS: Sejumlah 50,000 topi keledar akan diedarkan ke sekolah rendah di seluruh negara menerusi Program Adiwira Topi Keledar fasa kedua.

Pengasas dan Presiden Pertubuhan Perintis Malaysia (MyPerintis), Dato’ Lawrence Low berkata, program fasa kedua itu akan membabitkan 100 buah sekolah yang terdiri daripada pelajar golongan B40.

Katanya, inisiatif berkenaan diteruskan berikutan kejayaan program tersebut sebelum ini.

“Selepas kejayaan program fasa pertama, kami ingin terus menyediakan program seperti ini kepada rakyat Malaysia supaya dapat mengurangkan risiko keselamatan penunggang motorsikal membabitkan kanak-kanak.

“Selain itu, ia dapat menjadikan jalan raya di negara ini tempat yang lebih selamat untuk semua peringkat umur rakyat Malaysia,” katanya.

Program fasa kedua itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Penaung MyPerintis pada Sambutan Ulang Tahun ke-4 dan majlis makan malam mengumpul dana MyPerintis: Permulaan ‘New Dawn’, di Hotel One World, di sini.

Lawrence berkata, bagi menyokong inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu, pihak Kurnia Insurans (Kurnia) juga akan menyediakan 25,000 topi keledar selain mengadakan program keselamatan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan 100,000 pelajar.

“Skala ini hanya meliputi tiga peratus daripada sekolah rendah di Malaysia, tetapi kita perlu bermula secara berperingkat.

“Kami komited dalam menjayakan visi kami untuk membantu menjadikan Malaysia tempat yang lebih selamat, dan kami menyeru agar semua rakyat Malaysia menyertai kami untuk melindungi anak-anak kita,” katanya.

Terdahulu, hasil kajian daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia mendapati hanya 15 peratus penunggang motosikal mengenakan topi keledar secara betul ketika menunggang.

Kajian itu mendapati kanak-kanak antara yang berisiko tinggi terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pergi dan pulang dari sekolah.

Justeru, MyPerintis dan Kurnia serta Kementerian Pendidikan memulakan program perintis untuk mengedarkan 1,500 topi keledar kepada pelajar sekolah rendah di 30 buah sekolah rendah di Lembah Klang, Johor Bharu dan Kota Bahru.

Seramai 27,000 pelajar lagi akan didedahkan dengan aktiviti keselamatan jalan raya.


Pengarang :