BERITA UTAMA

Generasi muda perlu berdaya saing

PETALING JAYA, 23 OGOS: Generasi muda diharap sentiasa dapat menghadapi cabaran, berani meneroka potensi baharu dan berdaya saing, sekali gus mampu melaksanakan perubahan progresif.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, golongan itu perlu bersiap sedia untuk mengejar impian, selain menerapkan nilai-nilai kejujuran, disiplin dan kepercayaan.

“Kerajaan hari ini menyediakan inisiatif dan program-program baharu untuk negara. Dalam semua usaha tersebut, belia perlu komited dalam semua aspek, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

“Harapan saya adalah untuk melihat lebih banyak program yang memberi penekanan kepada pendidikan, kebolehpasaran, keusahawanan, kesenian dan kebudayaan serta kesukarelawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sambutan Ulang Tahun ke empat dan majlis makan malam mengumpul dana MyPerintis: Permulaan ‘New Dawn’, di Hotel One World, di sini malam tadi.

Pada masa sama, Dr Mahathir berkata, penubuhan Pertubuhan Perintis Malaysia (MyPerintis) bertujuan mewujudkan gerakan belia yang memberi tumpuan kepada generasi muda dan menyumbang kepada pembentukan masa depan negara.

“Ia diusahakan untuk memastikan Malaysia meneruskan pembangunan mampan dan dapat memastikan keharmonian dan kestabilan dalamkalangan semua rakyatnya.

“Fokus harus diberikan kepada bakat dan sumber daya negara, pembangunan kapasiti dan peningkatan kemahiran dalam sektor swasta dan awam.

“Saya berharap, MyPerintis dapat menghasilkan tenaga kerja yang kompetitif, produktif dan relevan yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan industri, serta keperluan masa kini dan masa depan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, MyPerintis juga perlu memanfaatkan semua teknologi canggih kepada belia selaras era Revolusi Perindustrian 4.0 ketika ini.

“Oleh itu, saya berharap MyPerintis dapat bersedia untuk bergerak ke hadapan dan mengambil cabaran ini sebagai satu cabaran baharu,” katanya.


Pengarang :