Paparan skrin menujukkan antara aplikasi media sosial popular yang digunakan oleh rakyat Malaysia. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Dr Wan Azizah: Guna media sosial dengan bertanggungjawab

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Rakyat perlu lebih bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial bagi memastikan keharmonian kaum di negara ini tidak terjejas, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri turut mengakui pengaruh media sosial dalam kalangan masyarakat tidak boleh dinafikan.

“Jika kita tengok sekarang, telefon bimbit itu tidak lekang dari tangan. Itu juga satu medium jika salah guna, akan jadi sesuatu yang boleh cetus pelbagai bahaya antara kaum.

“Kita mahu perpaduan antara kita diperkukuhkan kerana ia adalah kekuatan kita. Janganlah dapat apa-apa (kandungan melalui media sosial) terus siarkan (kongsi), semak dulu betul atau tidak,” katanya ketika berucap melancarkan Festival Merdeka #Perpaduandihati, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy.

Dr Wan Azizah berkata, masyarakat juga perlu lebih matang dalam membuat penilaian apabila berhadapan ancaman yang mampu memecahbelahkan perpaduan.

Katanya, rakyat juga harus menolak sebarang usaha menggugat ketenteraman dengan menimbulkan isu perkauman.

“Memang ada ekstremis antara kita tetapi jangan bagi suara ektremis itu mendorong apa yang kita lakukan dalam hidup kita,” katanya.

Beliau turut menekankan supaya masyarakat menghayati konteks sebenar Rukun Negara selain mendukung Perlembagaan Persekutuan ke arah mengekalkan perpaduan nasional.

Katanya, nilai murni seperti setiakawan, bersatu dan tidak mempunyai prasangka perlu menjadi sesuatu yang sinonim dengan rakyat Malaysia.

“Di peringkat kerajaan pula, soal perpaduan dan kesejahteraan sosial akan terus menjadi agenda utama untuk terus diberi penekanan,” katanya.

Sementara itu, Waytha Moorthy dalam ucapannya berkata, setiap rakyat perlu sedar jika hubungan antara kaum tidak dijaga, ia akan memberi kesan buruk kepada negara.

“Hubungan harmoni dalam kepelbagaian kaum ini menjadi pengukur kepada kestabilan sesebuah negara,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :