PBTSELANGOR

Elak denda, bayar segera cukai taksiran MBPJ

SHAH ALAM, 20 OGOS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengingatkan semua pemilik harta di kawasan pentadbirannya menjelaskan cukai taksiran sebelum 31 Ogos ini.

MBPJ dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, peringatan itu bagi mengelakkan sebarang bayaran tambahan dikenakan jika pemilik harta lewat membuat bayaran.

“MBPJ mengeluarkan bil cukai taksiran bagi setengah tahun kedua pada Julai hingga Disember melalui perkhidmatan pos kepada 257,391 pemegang harta yang melibatkan jumlah cukai semasa dan tunggakkan sebanyak RM200.30 juta.

“Sekiranya masih terdapat pemilik harta yang belum menerima bil cukai taksiran, MBPJ menyarankan agar merekan hadir ke Jabatan Perbendaharaan bagi mendapatkan salinan dan menjelaskan bayaran di kaunter Pembayaran Utama,” katanya.

Pada masa sama, pemegang harta juga boleh mendapatkan salinan bil cukai taksiran di Pejabat Cawangan MBPJ di No.19-1, Jalan Pekaka 8/1D, PJU 5, Prestige Kota Damansara, Petaling Jaya atau di Kaunter Bergerak EZ-Pay.

Kaunter Bergerak EZ-Pay itu disediakan di Taman Megah SS14 dan PJU 10 Damansara Damai bermula jam 10 pagi hingga 3 petang.

Bagi memudahkan bayaran, MBPJ turut menyediakan beberapa kaedah pembayaran iaitu secara tunai, cek, wang pos, kiriman wang pos dan kad debit atau kad kredit.

Orang ramai boleh layari laman sesawang www.mbpj.gov.my atau kunjungi laman sosial MBPJ di Facebook: @petalingjayacitycouncil, Twitter dan Instagram: @pjcitycouncil atau hubungi Jabatan Perbendaharaan MBPJ, Aras bawah, Ibu Pejabat MBPJ, Jalan Yong Shook Lin, 46675 Petaling Jaya, Selangor di talian 03 7956 3544 sambungan 102/103/108/109 bagi mendapat maklumat lanjut.


Pengarang :