ADNSELANGOR

Rukun Tetangga Seksyen 1B lancar kempen ‘Awas Dengan Peragut’

SHAH ALAM, 20 OGOS: Persatuan Rukun Tetangga Seksyen 1B melancarkan kempen ‘Awas Dengan Peragut’ sebagai langkah berjaga-jaga ekoran peningkatan kes samun dan ragut di kawasan ‘Petaling Jaya Old Town’.

Ahli Majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Terence Tan Teck Seng berkata, pihaknya menerima pelbagai aduan daripada penduduk setempat berhubung kejadian jenayah terutama kes ragut.

Katanya, antara faktor utama yang menyumbang kepada kes itu ialah laluan bertingkat (flyover) dari Jalan Othman ke Seksyen 1B yang lebih mudah diakses oleh penunggang motosikal.

“Kita meletakkan 20 papan tanda amaran khas untuk orang awam supaya mereka lebih berhati-hati, antara lokasinya ialah di Jalan Selangor dan Jalan Othman,” katanya selepas melancarkan kempen berkenaan, baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran.

Sementara itu Setiausaha Rukun Tetangga Seksyen 1B, Tan Kin Yet berkata, pihaknya bertambah bimbang apabila kebanyakan penduduk yang menggunakan laluan ‘panas’ itu adalah dalam kalangan warga emas.

“Kami percaya melalui kempen sebegini, ia akan mengurangkan kadar jenayah kerana sejak enam tahun lalu kita sudah menubuhkan pasukan rondaan untuk menangani kes jenayah,” katanya.


Pengarang :