Hujan lebat dan angin kencang menyebabkan air laut turut bergelora. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Industri agromakan negara rugi RM60.2 juta akibat Taufan Lekima

NIBONG TEBAL, 18 OGOS: Industri agromakanan negara mengalami kerugian kira-kira RM60.2 juta akibat tempias Taufan Lekima yang melanda beberapa negeri di kawasan utara baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin berkata kerugian paling banyak direkodkan membabitkan penternakan ikan dalam sangkar yang melibatkan RM29 juta.

“Kerosakan dalam agromakanan akibat taufan yang melanda pada Jumaat lepas itu ialah padi, ternakan ikan sangkar, ternakan ayam dan tanaman kontan, membabitkan kerugian yang sangat besar.

“Namun, ternakan ikan dalam sangkar di Pulau Pinang paling teruk terjejas membabitkan 152 pengusaha dan 800 tan metrik ikan mati serta kerosakan 80 hingga 100 peratus sangkar ikan dengan anggaran nilai kira-kira RM29 juta,” katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan penternakan ikan dalam sangkar di perairan Sungai Udang, di sini hari ini.

Sungai Udang merupakan antara kawasan yang terjejas teruk akibat ribut yang berpunca daripada taufan itu dan seramai 141 pengusaha penternakan ikan dalam sangkar mengalami kerosakan serius pada infrastruktur serta peralatan malah lebih 700 tan ikan mati dan terlepas dari sangkar. Selain Sungai Udang, pengusaha ternakan ikan dalam sangkar di Teluk Bahang dan Pantai Jerejak turut terjejas.

Menurutnya, terdapat lebih 100,000 pengusaha ternakan ikan dalam sangkar di seluruh negara dan 30 peratus daripadanya di Pulau Pinang. Penyumbang terbesar sumber akuakultur datang daripada penternakan ikan sangkar di negeri ini iaitu kira-kira 60 peratus.

Sementara itu, Sim berkata kementeriannya akan mengambil beberapa langkah segera dalam usaha membantu para pengusaha penternakan ikan dalam sangkar yang terjejas akibat ribut berkenaan supaya mereka dapat membina semula sangkar-sangkar ikan bagi menampung permintaan sumber perikanan.

Katanya, kementerian juga akan mengadakan pertemuan dengan pihak Agro Bank dalam masa terdekat untuk membincangkan bantuan pinjaman kepada pengusaha ternakan ikan dalam sangkar.

“Saya minta bank-bank lain dapat membantu kerana kami tidak mahu pengusaha terjejas ini putus asa seperti pengusaha pada tahun 2017 yang terjejas akibat banjir besar di Pulau Pinang yang enggan meneruskan ternakan ikan berikutan gagal mendapat pinjaman,” katanya.

Beliau berkata kementerian juga sedang menyiapkan laporan terperinci berhubung kerosakan yang dialami petani, penternak serta nelayan akibat bencana itu bagi memastikan bentuk bantuan yang perlu disalurkan kepada kumpulan sasar yang terjejas.

Sim turut mencadangkan kepada pengusaha ternakan ikan supaya menggunakan sistem ternakan sangkar moden dikenali ‘HDPE Polar Circle Cages’ kerana ia lebih kukuh serta tidak mudah rosak.

Beliau berkata sistem ternakan moden itu boleh mengaplikasikan teknologi automasi termasuk Internet of Things (IoT) dengan menggunakan kamera litar tertutup dan perkhidmatan wifi untuk memantau aktiviti di sangkar serta dapat mengurangkan tenaga kerja.

“Sebagai permulaan, kementerian akan memberikan dua sangkar HDPE masing-masing bersaiz 12 meter persegi bernilai RM100,000 kepada Persatuan Pengusaha Ikan Sungai Udang supaya ia dapat dijadikan projek perintis serta dapat lihat bagaimana ia beroperasi sebelum menukar daripada sangkar tradisional sekarang ini kepada sistem baharu,” katanya.

Pada 9 Ogos lepas, tujuh negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Pahang dan Terengganu dilaporkan dilanda ribut kesan daripada Taufan Lekima yang melanda timur China, yang menyebabkan kerosakan kepada banyak kediaman dan bangunan, selain kejadian pokok tumbang.

-BERNAMA


Pengarang :