Jerebu di Miri berpunca daripada pembakaran terbuka tidak terkawal yang berlaku sejak semalam. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Hujan lebat bantu padam kebakaran hutan, belukar tanah gambut di Sarawak

KUCHING, 18 OGOS: Hujan lebat semalam dan hari ini telah membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memadamkan kebakaran hutan, belukar dan tanah gambut di negeri ini.

Menurut JBPM Sarawak, operasi memadamkan kebakaran di Kampung Sedi, Pulau Bruit, Tanjung Manis yang masuk hari ke-11, telah ditamatkan jam 10.15 pagi tadi selepas hujan lebat melanda kawasan itu.

Operasi memadamkan kebakaran di Jalan Marudi-Miri juga yang masuk hari ke-11, hanya melibatkan pemantauan.

“Hanya terdapat sedikit tompokan asap sahaja (di kebakaran terbabit di Jalan Marudi–Miri) kerana hujan semalam,” menurut JBPM Sarawak dalam satu kenyataan.

Selain itu, operasi memadamkan kebakaran di kawasan seluas 26.7 hektar (66 ekar) di Kampung Tuie, Serabang, Betong, telah ditamatkan jam 2. 45 petang ini dan pemantauan akan dijalankan bagi kawasan terbabit dari semasa ke semasa.

Sementara itu, bagi operasi memadam kebakaran itu di Taman Harmoni, Sri Aman yang masuk hari ke sembilan disambung jam 8.30 pagi tadi dan JBPM berjaya memadamkan 3.2 hektar ( lapan ekar) dan masih berbaki 2.8 hektar (tujuh ekar) belum dipadamkan.

“ (Kebakaran itu di ) Lot 4041, 4042 dan 3709 di Kuala Baram masuk hari ke-18. Operasi disambung jam 9 pagi tadi dengan keluasan berjaya dipadamkan setakat ini ialah 248.8 hektar (615 ekar),” jelas JBPM.

Keseluruhannya 525 kes kebakaran hutan, belukar dan tanah gambut dilaporkan di negeri ini sejak 1 Ogos sehingga hari ini dengan tiada kes penambahan kebakaran itu hari ini.

-BERNAMA


Pengarang :