AGENDANASIONAL

Kasih bapa: Pemancing cuba selamatkan anak lemas hilang

KUALA PENYU, 26 OGOS: Seorang bapa dipercayai lemas ketika cuba menyelamatkan anaknya yang terjatuh dari bot akibat dipukul ombak pagi tadi.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dalam kenyataan di sini malam tadi memaklumkan, kejadian itu berlaku di pantai Sabang Kampung Kekapor ketika mangsa keluar memancing bersama seorang rakannya pada jam 8.30 pagi.

Menurut kenyataan itu, mangsa dikenali sebagai Jahar Asri berumur dalam lingkungan 40-an terjun ke laut tanpa memakai jaket keselamatan untuk menyelamatkan anaknya.

“Rakan mangsa yang kemudian menghidupkan enjin bot dan mencari kedua-dua mereka, bagaimanapun hanya menemukan anak mangsa yang terapung sebelum dibawa ke daratan,” menurut kenyataan itu.

Anak mangsa, Izam Jahar, 20-an disahkan meninggal dunia oleh pihak polis dan usaha mencari dan menyelamat diaktifkan oleh Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kota Kinabalu pada jam 10.30 pagi semalam.

– BERNAMA


Pengarang :