Gambar dua suspek kes ragut beg tangan wanita yang dirakamkan oleh wartawan di Jalan Horley, Pekan Baru Ipoh pada 25 Ogos 2019. Foto BERNAMA
BERITA UTAMA

Dua hari keluar jel, kena tahan meragut

IPOH, 26 OGOS: Baru dua hari dibebaskan dari Penjara Tapah, seorang bekas
banduan ditahan semula, kerana dipercayai melakukan jenayah ragut di Jalan
Horley, Pekan Baru Ipoh, di sini tengah hari tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah
berkata, suspek berusia 31 tahun itu, yang baru selesai menjalani hukuman
penjara lapan bulan atas kesalahan berkaitan dadah, ditahan di Jelapang pada
pukul 8 malam.

“Dalam kejadian pukul 12.53 tengah hari tadi, suspek yang dipercayai menaiki
sebuah motosikal bersama seorang lelaki, menghampiri seorang wanita lalu
menarik beg tangannya sehingga mangsa terjatuh dan luka pada siku kiri,”
katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang membuat laporan polis pada pukul 1.30 tengah hari
tadi memberitahu, bag tangan mangsa mengandungi wang tunai RM300, dokumen
pengenalan diri dan kad bank.

Mohamad Nordin berkata, hasil kerjasama orang awam dan kecekapan pihak polis,
bekas banduan itu berjaya ditahan kurang daripada lapan jam dan polis sedang
giat mengesan seorang lagi suspek, serta kes disiasat di bawah Seksyen 395
Kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpulan.

Insiden ragut itu disaksikan dua wartawan yang secara kebetulan melalui
kawasan berkenaan menaiki kereta, dan sempat merakamkan gambar kejadian yang
jelas menunjukkan jenis dan nombor pendaftaran motosikal dinaiki suspek.

Mohamad Nordin mengucapkan terima kasih kepada wartawan terbabit yang
kemudiannya menghubungi pihak polis, bagi menyalurkan maklumat dalam usaha
membanteras jenayah.

– BERNAMA


Pengarang :